Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Monday 25 November 2013

Rangkuman Pahang FA musim 2013



Berikut merupakan analisis prestasi pasukan Pahang untuk musim 2013.

1. Pencapaian pasukan Pahang untuk tahun 2013:
Liga Super     : tempat ke-5
Piala FA        : Semi-final
Piala Malaysia: Juara

2. Rekod perlawanan:
          Liga Super     : Menang-10, Seri-5, Kalah-7
          Piala FA        : Menang-4, Seri-1, Kalah-0
          Piala Malaysia: Menang-6, Seri-3, Kalah-2
          
         Jumlah: 38 perlawanan, Menang-19, Seri-9, Kalah-9 (50% kemenangan)

3. Gol
          Liga Super     : Gol-36, Bolos-32
          Piala FA         : Gol-14, Bolos-5
          Piala Malaysia : Gol-21, Bolos-16
        
          Jumlah: Gol-71, Bolos-53

4. Clean Sheet
          Ya: 8 perlawanan (21.05%)
          Tidak: 27 perlawanan (78.96%)

5. Keputusan perlawanan terbaik
          Pahang 7-1 Tentera Darat (Piala FA)

6. Keputusan perlawanan terburuk
          Kelantan 4-0 Pahang (Piala Malaysia)

7. Senarai penjaring gol Pahang 2013
          16 gol: Matias Conti
          11 gol: Alex, Kojie
          9 gol: Gopi
          5 gol: Faizol
          4 gol: Hafiz
          3 gol: Suren
          2 gol: Stewart, Yol
          1 gol: Azidan, Borji, Malik

8. Senarai pemain yang melakukan assist:
          11 assist: Kojie
          9 assist: Alex
          8 assist: Faizol
          6 assist: Yol, Gopi
          4 assist: Suren, Stewart
          3 assist: Borji
          2 assist: Jalal, Azidan
          1 assist: Nico, Hafiz, Azhan, Conti

9. Penampilan dalam perlawanan (start + subs)
          38 perlawanan: Razman
          36 perlawanan: Yol, Gopi
          35 perlawanan: Alex
          34 perlawanan: Poyeng
          33 perlawanan: Faizol, Kojie
          31 perlawanan:  Ijan, Jalal
          29 perlawanan: Suren, Hafiz
          27 perlawanan: Azidan
          22 perlawanan: Azhan, Conti
          13 perlawanan: Malik
          10 perlawanan: Nasril, Rosfaizul, Borji
          6 perlawanan: Zaiza
          4 perlawanan: Nico, Faisal
          2 perlawanan: Hazuan
          1 perlawanan: Hazri, Syawal

Kesimpulan
Secara keseluruhan, musim 2013 boleh dikatakan musim yang cemerlang buat skuad Tok Gajah. Bermula dengan hanya menyasarkan untuk kekal dalam liga super, Pahang mampu menempatkan diri di kalangan pencabar kejuaraan. Melakukan kejutan di awal musim dengan mengunguli persada liga selama lima perlawanan, pasukan tidak mampu meneruskan momentum kemenangan apabila prestasi merosot di tengah saingan liga. Pahang mengakhiri saingan di tempat ke-5.

Untuk saingan Piala FA, pasukan Pahang sekali lagi melakukan kejutan apabila layak hingga ke separuh akhir. Hanya hasrat Pahang untuk melangkah ke final disekat pasukan kelab dari selatan apabila tewas kepada pasukan tersebut berdasarkan peraturan gol tempat lawan.

Piala Malaysia pula lain pula ceritanya. Selepas di ambang penyingkiran di peringkat kumpulan, Pahang bangkit membaiki prestasi di saingan kalah mati sehingga berjaya ke pentas final selepas 21 tahun. Pemain-pemain Pahang tidak melepaskan peluang keemasan ini apabila berjaya menundukkan juara bertahan, Kelantan 1-0, di perlawanan akhir,hasil jaringan ayam tambatan dari Argentina, Matias Conti.

Kejayaan merangkul Piala Malaysia  merupakan detik bersejarah bola sepak negeri Pahang. Siapa sangka skuad yang tidak diberi harapan di awal musim, mampu menamatkan kemarau panjang kejuaraan untuk negeri Pahang. Jutaan tahniah ingin diucapkan kepada pengurusan dan juga pemain di atas kejayaan ini. Semoga tahun hadapan Pahang lagi beroleh kejayaan yang lebih gemilang.

Hogoh Pahang Hogoh!!


Tuesday 5 November 2013

Misi 92 berjaya-Pahang Juara Piala Malaysia 2013


Setelah 21 tahun menanti, Pahang akhirnya menamatkan kemarau juara Piala Malaysia dengan meranapkan impian Kelantan mempertahankan kejuaraan dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Kejayaan Pahang itu bukan sahaja disambut dengan sorakan ribuan penyokong Pahang di stadium, malah pastinya menggembirakan setiap rakyat negeri itu yang menyaksikannya menerusi skrin televisyen yang bersiaran secara langsung.

Sekalung tahniah buat pemain import dari Argentina, Matias Conti yang muncul wira Tok Gajah, apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-58 sudah cukup buat Pahang memahat sejarah merangkul kejuaraan ketiga dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia selepas melakukannya (juara) pada tahun 1983 dan 1992.

Di hadapan 85,000 penonton yang membanjiri stadium, anak-anak buah Dollah Salleh sewajarnya layak dinobat sebagai juara berdasarkan aksi yang lebih berkualiti dengan penguasaan di bahagian tengah dikemudi pemain berbakat besar, Azamuddin Akil dan Mohd. Amirulhadi Zainal.

Gelagat penyokong Pahang dengan gaya tersendiri
menyokong pasukan.

Perlawanan semalam bagaikan mengulangi keputusan 1-0 ketika mereka menang ke atas Kedah pada tahun 1992 dan lebih menggembirakan kali ini, mereka hanya dilabel sebagai underdog untuk menang tetapi berupaya mengejutkan Kelantan yang jauh lebih berpengalaman.

Selain Conti dan Azamuddin yang layak dilabel sebagai wira pasukan, aksi cemerlang yang dipamerkan oleh penjaga gol muda, Khairul Azhan Mohd. Khalid wajar diberikan pujian apabila menafikan banyak peluang The Red Warriors terutama pada penghujung permainan apabila menyelamatkan percubaan Mohd. Nor Farhan.

Kelantan yang dianggap pilihan untuk memenangi perlawanan ini mempamerkan aksi yang tidak begitu bermaya dengan kelibat ketua pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi tenggelam manakala Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Norfarhan Muhammad tidak dibiarkan bebas di bahagian sayap

Ketiadaan Obinna Nwaneri di pertahanan jelas mengundang masalah apabila gandingan Nik Shahrul Mohd. Azim dan Azizi Matt Rose tidak mampu mengekang kelincahan Conti dan Azamuddin yang acap kali dapat melepaskan diri ke dalam kotak penalti The Red Warriorrs.

Permainan antara kedua-dua pasukan seperti kurang bernyawa pada babak pertama ekoran hujan lebat sebelum perlawanan bermula yang banyak merencatkan pergerakan bola.
Tok Gajah lebih banyak menguasai jentera tengah tetapi Kelantan memilih taktik secara serangan balas kilat bagi mendapatkan jaringan dengan Dickson Nwakaeme banyak memberikan ancaman kepada pertahanan Pahang.

Kelantan nyaris memecahkan kekebalan pintu gol pada minit ke-25 melalui Nwakaeme yang dapat melarikan diri secara solo ke arah gawang Pahang, mujur tindakan Damion Stewart menjatuhkan pemain import Nigeria di atas garisan berhampiran kotak penalti menyelamatkan Pahang buat seketika.

Nasib tidak bersama Pahang seminit kemudian apabila percubaan jarak jauh pemain kelahiran Bera, R. Surendran mengenai palang walaupun Khairul Fahmi sudah tertewas.
Penonton akhirnya terhibur dengan aksi pada babak kedua apabila hujan berhenti dengan lebih banyak serangan pantas dan bermutu dapat dipamerkan oleh kedua-dua pasukan sebelum jaringan pertama hadir, 13 minit kemudian.

RESPECT. Alex antara tonggak yang membantu
kejayaan pasukan.
FOTO: KHAIRUL AZRIN | DS
Taktikal Dollah meletakkan Azamuddin di bahagian sayap kanan menggantikan Surendran selain memasukkan Mohd. Fauzi Roslan begitu menjadi dengan pemain kelahiran Kampung Relong, Kuala Lipis itu menjadi punca kepada gol sulung Pahang.

Selepas berjaya melepasi kawalan Zairul Fitree, hantaran silangnya berjaya menemui Matias Conti yang begitu bergaya menanduk masuk ke dalam gawang Kelantan bagi memastikan Pahang memimpin perlawanan pada minit ke-58 dan menggembirakan kira-kira 40,000 penyokong setia Tok Gajah yang hadir.

LOVE. Matias meraikan gol untuk Pahang.
FOTO: Dunia Sukan 
Walaupun tempo permainan Kelantan berubah sedikit selepas jaringan dari Pahang dengan kehadiran Faiz Subri serta Ahmad Fakri Saarani tidak mampu mengubah kedudukan 1-0 bagi memastikan Piala Malaysia akhirnya singgah ke bumi Pahang setelah sekian lama.

Ulasan

Kejayaan Pahang menjuarai Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan juara bertahan Kelantan 1-0 di Stadium Shah Alam, malam kelmarin, berpunca daripada percaturan taktikal Dollah Salleh.

Dollah yang pernah menjuarai piala berkenaan pada 1992 bersama Pahang sebagai pemain, mengakui pasukannya perlu tampil dengan permainan terbaik untuk menewaskan Kelantan yang dibarisi ramai pemain berpengalaman.

Kunci utama kejayaan anak buahnya mengekang kemaraan lawan ialah dengan menyekat pergerakan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya yang terkenal dengan hantaran-hantaran hebat.

Pahang menguasai perlawanan dengan baik, mencipta banyak peluang, namun satu gol dari Matias Conti sudah cukup menjulang piala yang berpretij ini.

Tahniah kepada semua pemain yang bekerjasama dari awal - daripada kita hampir tersungkur di peringkat kumpulan, bangkit semula dan peluang terhidang dimanfaatkan sehingga muncul juara.

Double R menjulang Piala Malaysia di depan
penyokong Pahang.
Juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong-penyokong Pahang yang telah menbanjiri di Stadium Shah Alam. Ini lah hadiah kepada penyokong-penyokong yang membantu pasukan Pahang sepanjang tahun ini.

Teruskan sokongan kepada pasukan kita. Jadikan lah kejuaraan tahun ini sebagai detik permulaan kepada kejayaan yang berpanjangan di masa-masa hadapan

Hogoh Pahang Hogoh!!!
Menang Tak Bermegah, Kalah Takkan Rebah!!!
Pahang Juara!!