Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Thursday 26 February 2015

Kemenangan Pertama Musim 2015

Kemenangan pertama musim ini menjelma dalam perlawanan Piala AFC 2015 setelah pasukan Pahang berjaya menundukkan Yadanarbon FC dengan jaringan 3-2. Skuad Tok Gajah yang tampak garang pada awalnya berjaya mendapatkan gol pertama hasil jaringan Dickson Nwakaeme pada minit ke 6 setelah tendangan leret tepat menuju ke arah pintu gol terbuka disudahkan dengan sempurna. Asakan demi asakan dilakukan dan hasilnya menjelma setelah gol kedua dijaringkan juga oleh orang Besi beberapa minit selepas itu. Perlawanan terhenti seketika selama lebih kurang 5 minit setelah jaring gawang didapati tercabut di bahagian tepi pintu gol lawan. Perlawanan bersambung dan kelihatan rentak permainan kedua-dua pasukan telah berubah. Mendahului dengan jaringan 2-0 sama sekali tidak mematahkan semangat pihak lawan. Kesungguhan serangan balas pihak lawan akhirnya membuahkan hasil setelah rembatan pemain Yadanarbon FC mengubah kedudukan kepada 1-2 setelah bola terkena Damion Stewart tepat menerjah gawang gol sendiri. Separuh masa pertama tamat.


Mulanya separuh masa kedua , Yadanarbon FC tampak terus menerus membuat serangan ke arah pintu gol Pahang.Kesilapan yang dilakukan oleh kapten Pahang memakan diri setelah dilayangkan kad merah beserta pakej kombo penghargaan penalti kepada pihak lawan. Penalti diambil sempurna sekaligus kedudukan bertukar 2-2. Pahang melakukan beberapa pertukaran pemain untuk menyusun semula corak permainan 10 orang. Tidak lama selepas itu Poyeng pula menghadiahkan sepakan penalti kepada pihak lawan tetapi tidak dapat disudahkan dengan sempurna setelah bola terbang jauh melewati palang gol. Pasukan Pahang membuktikan sekali lagi mereka akan bangkit dengan 10 orang pemain. HAsilnya, Gopi menghasilkan jaringan hasil usaha keras Hafiz di penjuru padang pada minit akhir perlawanan. Tamat masa perlawanan, pasukan Pahang membawa pulang 3 mata ke Darul Makmur.


Komen Koi :
1) Penyakit corak permainan  "leweh/tepu" setiap kali mendahului pasukan lawan tetap berulang.
2) Pasukan Pahang kerap kali bermain corak "longball" iaitu bola dari defend direct pada striker. Tidak banyak gerakan menggunakan bahagian midfield.
3) Orang Besi bermain agak tamak. Ada beberapa larian/ruang untuk rakan terbantut kerana beliau "simpan" bola terlalu lama.
4) Pemain muda jersi 27, Azam nampak yakin dan agak "perform" di atas padang. Perlu selalu diturunkan agar chemsitry dengan pasukan semakin baik.
5) Game makin lama makin menyerupai zaman 2004! Mintok Abg Zainal Uboh lah taktikal tu. Game agak bosan. Asyik bola lambung ke atas je cari targetman. Pergerakan tak berapa tersusun dan tak "build up" macam zaman abang ............ jadi coach dulu.


KIta masih berada di awal musim. Tetapi di awal musim inilah kita kena beri kritikan sebelum hanyut dibuai kejayaan2 lalu. 

Hogoh Pahang Hogoh!!
TOK GAJAH SELAMANYA!
TOK GAJAH FOREVER!





Perlawanan Piala  AFC seterusnya beserta Carta


Sunday 22 February 2015

Sarawak dan Pahang Sama Kuat di Kuching | Liga Super 2015

Photo by Azam Muhamad Subri | www.asiana.my
Pahang dan Sarawak terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila kedua-dua pasukan seri 0-0 dalam aksi di Stadium Negeri, Sarawak malam tadi.

Sarawak memulakan perlawanan dengan garang sekali dengan menyerang kubu pertahanan Pahang, namun Stewart dan rakan-rakan kebal menidakkan setiap peluang Sarawak.

Dickson dikawal ketat oleh pertahanan tuan rumah.
Photo: Azam Muhamad Subri | www.asiana.my
Pahang dapat peluang mendahului perlawanan apabila pengadil menghadiahkan sepakan percuma, namun sepakan yang diambil Azidan Sarudin tidak menepati sasaran. Matias Conti juga mempunyai peluang memecahkan kebuntuan, tetapi tandukan beliau dapat dibaca oleh keeper Sarawak, Fadzley Rahim.

Tamat separuh masa, Sarawak 0-0 Pahang.

Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan tempo perlawanan dengan saling mengasak memburu gol.

Dickson  melakukan turning yang cantik di depan gol selepas hantaran satu dua dengan Conti, namun cubaan Dickson dapat disekat oleh pertahanan Sarawak.

Yan juga beberapa kali diasak oleh penyerang Bujang Senang, namun beliau tenang mengawal pintu gol Tok Gajah dari dibolosi.

Shafiqi membuat penampilan pertama musim2015.
Photo by Azam Muhamad Subri | www.asiana.my
Coach Zainal memasukkan Rizua Shafiqi mengantikan Azidan untuk meningkatkan dalam usaha mencari gol kemenangan, namun kedua-dua pasukan sama buntu mencari gol.

Tamat, perlawanan, Sarawak 0-0 Pahang.


Ulasan
Beraksi di gelangang  lawan, satu mata bukan lah sesuatu negative buat pasukan. Sarawak memang terkenal dengan kekuatan mereka di tempat sendiri, dan Pahang Berjaya mencuri satu mata dari sana.

Dalam perlawanan ini, Poyeng yang digantung 2 perlawanan ketika menerima kad merah di Final Piala Malaysia, kembali membarisi kesebelasan utama. Dengan kehadiran Poyeng, Zainal boleh mengandingkan Razman dan Stewart di bek tengah, dengan meletakkan Zesh di bahagian defensive midfield.

Nur Azam juga pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama selepas menunjukkan aksi yang memberangsangkan sebelum ini. Ketika Hafiz digantung perlawanan, Azam Berjaya mengemudi bahagian tengah dengan baik di bantu oleh Zesh dan juga Azidan.

Aksi Azam ketika menentang Sarawak semalam.
Photo: Azam Muhamad Subri | www.asiana.m
Perlawanan Pahang yang seterusnya adalah menentang kelab Myanmar, Yadanarbon F.C di Mandalay, Myanmar, 25 Feb 2015. Diharapkan pasukan Pahang terus meningkatkan prestasi dan bersemangat memburu kemenangan pertama musim 2015. Buktikan kekuatan sebenar pasukan Tok Gajah.

HOGOH PAHANG HOGOH!!!!
DARI RODONG UNTUK RODONG!!!!

Line up Pahang vs Sarawak:
Azhan: Poyeng, Razman, Stewart, Shahrizan; Azam; Azidan (Shafiqi), Zesh; Dickson, Conti, Koji


Sunday 15 February 2015

Tok Gajah dirantai Red Giant | Liga Super 2015

Harapan Pahang untuk mengutip 3 mata penuh ke atas lawan tradisi, Selangor, masih belum tercapai apabila hanya mampu seri 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur semalam, sungguh pun pada satu ketika mendahului pada pertemuan penuh dramatik itu.

Perlawanan pada awalnya agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mencipta beberapa peluang keemasan untuk membuka jaringan.

Peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-11 permainan apabila kelincahan dan kawalan bola yang baik dari pemain sayap kanan Andik Vermansah berjaya membuka ruang kepada Guilherme De Paula di dalam kotak penalti namun gagal disempurnakan.

Pahang dilihat semakin menguasai permainan selepas itu dengan barisan penyerang mereka berjaya memecah benteng pertahanan lawan menerusi larian pemain sayap kiri, R. Gopinathan dan corak permainan fizikal Dickson Nwakaeme.

Pertahanan Selangor cuba menghalang sepakan Gopi.
FOTO -  Dunia Sukan
Gerakan yang dimulakan Nwakaeme pada minit ke-19 berjaya memberi ruang kepada Gopinathan untuk melakukan lorongan cantik dari sebelah kiri melintasi gawang Selangor namun gagal disambar Matias Conti dan R. Surendran.

Selepas gagal memecah kebuntuan jaringan, jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan membuat membuat pertukaran pemain selepas rehat dengan memasukkan Norazam Abdul Azih menggantikan Surendren yang kurang berkesan.

Gol pembukaan yang dinantikan lebih 28,000 penyokong Pahang yang memenuhi stadium akhirnya muncul pada minit ke-59 hasil jaringan Conti.

Penyerang dari Argentina itu, yang dilihat kurang menyerlah pada separuh masa pertama, mudah menyempurnakan tolakan Azidan Sarudin yang sebelumnya menerima bola daripada Dickson dalam kotak penalti.

Kegembiraan tersebut bagaimanapun tidak kekal lama apabila pemain sayap Selangor, Andik, melakukan gerakan solo dari sebelah kanan untuk melepasi kawalan tiga pertahanan tuan rumah sebelum merembat masuk gol penyamaan pada minit ke-65.

Pada minit-minit akhir perlawanan, Pahang terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Hafiz Kamal dibuang padang setelah menerima kad kuning kedua.

Hafiz Kamal diarahkan keluar padang selepas menerima
kad kuning kedua. FOTO - Dunia Sukan

Bagaimanapun, masa terlalu suntuk buat Selangor untuk mengambil kesempatan ke atas kepincangan Pahang itu, sungguhpun pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed memberikan tiga minit masa tambahan.

Ulasan

Secara keseluruhan, permainan Pahang ada peningkatan berbanding ketika perlawanan Piala Sumbangsih tempoh hari. Namun, masih jauh dari prestasi sebenar pasukan. Banyak peluang di depan gol tidak dapat disempurnakan. Set piece sepakan sudut dan sepakan percuma juga banyak disia-siakan. Menjadi kerugian jika deretan sepakan sudut diperoleh, tiada satu pun mampu mengugat pintu gol lawan.

Disebabkan ada beberapa pemain regular yang masih tercari-cari rentak perlawanan, coach Zainal patut memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan sesuatu. Contohnya, pemain muda Nurazam Aziz ada kemampuan menyumbang sesuatu kepada pasukan apabila dimasukkan.  Beliau ada visi yang baik sebagai seorang midfielder.

Penampilan pertama Nurazam Aziz bersama pasukan
Pahang di Stadium Darul Makmur. FOTO - Dunia Sukan


Perlawanan Pahang seterusnya adalah menentang Sarawak di tempat lawan pada 21hb

Hogoh Pahang Hogoh!!!

Dari rodong untuk rodong!!!

Line up Pahang vs Selangor:
Yan; Razman, Stewart, Zesh, Ejan; Suren(Azam), Azidan, Hafiz, Gopi(Kojie), Conti, Dickson.


Tuesday 10 February 2015

[Liga Super] Jadual Perlawanan Pusingan Pertama

Untuk para peminat setia pasukan Tok Gajah, kami di tokgajahforever membawakan kepada anda jadual perlawanan Liga Super 2015 Pusingan Pertama. Anda boleh memuat turun gambar ini sebagai rujukan. 



Jutaan terima kasih kepada semua, kami akan terus berjuang, seiring dengan perjuangan pasukan Pahang dan kalian semua. Teruskan menyokong kami, Tok Gajah Forever !!!

HOGOH PAHANG HOGOH !!!
DARI RODONG UNTUK RODONG !!!

[Liga Super] Mampukah Pahang Menamatkan Badi?


Menjelang saingan Liga Super di Darul Makmur Sabtu ini, mampukah Pahang menamatkan badi ke atas Selangor kali ini? Rekod pertemuan sebelum ini menyaksikan Selangor lebih mendominasi hampir kesemua perlawanan berbanding pasukan Pahang.


Skuad Tok Gajah yang beraksi hambar dalam perlawanan Piala Sumbangsih 2015 tetap optimis untuk menjinakkan Red Giants. Memetik temuramah (sumber Harian Metro Online) bersama Mohd Fauzi Roslan, "Kami harap dapat beraksi dengan baik dan tidak mempersia-siakan peluang dimiliki sambil mengekang asakan lawan. Pemain semakin menunjukkan perkembangan positif, saya percaya kami akan mempamerkan prestasi terbaik untuk meraih kemenangan."

                                        
                                                    (Fauzi Roslan)                                            (Andik Vermansyah., sumber kosmo.com.my)
Pemain tengah Selangor, Andik Vermansyah mungkin tidak dapat diturunkan akibat kecederaan yang dialami pada Sabtu lalu menentang Terengganu. Menurut jurulatih Selangor, Mehmet Durokovic, "Keadaan Andik sekarang tidak cukup cergas dan situasi ini memberi kebimbangan kepada saya kerana dia menjadi harapan menjelang pertemuan sengit ini. Saya menyedari Selangor bakal berdepan tugas berat terutamanya bermain di tempat lawan, ditambah lagi dengan status Pahang yang sebelum ini muncul kuasa besar liga bola sepak tempatan selepas menjuarai tiga kejuaraan musim lalu." (sumber kosmo online)

Dalam perlawanan persahabatan menentang jaguh Liga Singapura  pada 6 Febuari lalu, Tok Gajah mencatatkan kemenangan ke atas Tampines Rovers FC dengan keputusan 2 - 1. Pahang dilihat mendominasi perlawanan dengan beberapa asakan ke atas kubu lawan. Corak perlawanan juga nampak berbeza dan menunjukkan petanda positif bahawa Tok Gajah bakal menggegar lagi untuk musim 2015.  

Jutaan terima kasih kepada semua, kami akan terus berjuang, seiring dengan perjuangan pasukan Pahang dan kalian semua. Teruskan menyokong kami, Tok Gajah Forever !!!

HOGOH PAHANG HOGOH !!!
DARI RODONG UNTUK RODONG !!!




Tuesday 3 February 2015

[Piala Sumbangsih] Tok Gajah Terkulai di Larkin

(Kredit poto, Dunia Sukan)

Juara treble musim lalu, Pahang, tewas di tangan Johor DT dalam pertembungan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) yang berlangsung di Stadium Larkin Sabtu lalu. Johor DT yang tampil dengan persembahan yang lebih meyakinkan telah membuatkan Pahang berputih mata untuk mengekalkan Piala Sumbangsih di negeri Tok Gajah. 
Johor DT bermula garang dengan asakan bertali arus ke atas kubu pertahanan Pahang yang agak rapuh tanpa kehadiran Saiful Nizam Miswan (Poyeng) yang digantung perlawanan. Perlawanan berkesudahan dengan Johor DT menewaskan Pahang dengan keputusan 2-0. Gol dijaringkan oleh Marcos Antonio (36') dan Luciano Figueroa (59')

Ulasan
Pahang memulakan musim 2015 dengan langkah kiri apabila tewas kepada Johor DT 2 - 0 dalam merebut Piala Sumbangsih baru-baru ini. Ternyata persiapan pasukan Pahang masih belum mencapai tahap yang memuaskan dan perlu dipertingkatkan dengan segara atau kita akan kehilangan dua lagi piala yang dimenangi musim lalu. 
Beberapa perkara dapat dilihat dari perlawanan tempoh hari kami kongsikan disini. 

1. Taktikal yang sama
    Taktikal yang digunakan oleh Zainal Abidin Hassan merupakan taktikal yang bagus dan mampu mengejutkan pasukan lawan setiap kali bertemu dengan pasukan Tok Gajah. Tetapi taktikal dan corak permainan pasukan perlu divariasikan supaya sukar dibaca oleh pihak lawan. Mungkin inilah  salah satu punca kekalahan kepada JDT apabila Bojan Hodak berjaya membaca corak perlawanan Pahang dan mudah mengekang setiap pergerakan pemain-pemain Tok Gajah. 

2. Pemain tengah perlu lebih kreatif
    Pemain tengah pasukan Pahang, Azidan Sarudin dan Hafiz Kamal yang berpengalaman perlu lebih kreatif dan pelbagaikan corak permainan tengah supaya asakan ke kubu lawan dapat dipelbagaikan. Melakukan lambungan bola kepada "target man" setiap kali mendapat bola menyebabkan pertahanan JDT mudah mengekang kemaraan Dickson dan Conti diposisi serangan. Gandingan pertahanan JDT, Junior Eldstal dan Marcos Antonio dilihat begitu serasi dan kebal. Jika Pahang tidak mahu berputih mata dengan JDT pada perlawanan akan datang, Zainal Abidin Hassan perlu memikirkan sesuatu untuk mengatasi dua pertahanan kental JDT ini.

3. Pemain-pemain baru
    Zainal Abidin Hassan juga perlu memberi lebih kepercayaan kepada pemain-pemain baru kerana mereka juga mempunyai daya kompetitif yang tinggi serta tenaga muda mereka dapat digunakan untuk melakukan larian-larian yang mampu menggugat kedudukan pasukan lawan.
Dalam perlawanan Sumbangsih yang lalu, kemasukan Azam Azih dapat mengubah corak pasukan Pahang. Pemain ini perlu digilap lagi bakatnya oleh Zainal Abidin Hassan supaya kita tidak ketandusan pemain tengah yang berkualiti pada saingan akan datang.

(Azam Azih)

4. Gandingan Razman dan Stewart
    Pemain pertahanan Pahang, Razman dan Stewart mesti dikekalkan untuk mengekang asakan pasukan lawan. Kedua-dua pemain pertahanan ini mempunyai kesefahaman yang tinggi dan boleh dikatakan antara pertahanan yang terbaik.

Secara keseluruhannya perlawanan Piala Sumbangsih 2015, segala percaturan Pahang serba tidak menjadi dan berharap Zainal Abidin Hassan dapat melakukan sesuatu bagi memastikan prestasi pasukan Pahang terus gah dalam saingan musim 2015 ini. Kami para penyokong, khasnya dari TokGajahForever tetap bersama pasukan Pahang.

Jutaan terima kasih kepada semua, kami akan terus berjuang, seiring dengan perjuangan pasukan Pahang dan kalian semua. Teruskan menyokong kami, Tok Gajah Forever !!!

HOGOH PAHANG HOGOH !!!
DARI RODONG UNTUK RODONG !!!

Saturday 31 January 2015

Piala Sumbangsih: Debaran Kian Terasa !!!

Beberapa jam sahaja lagi dua pasukan terbaik di Malaysia akan bertembung demi merebut piala bersejarah, Piala Sultan Haji Ahmad Shah. Perlawanan Sumbangsih ini merupakan perlawanan pertama bagi memulakan Liga Malaysia 2015. 

(Kredit poto, TV3 Malaysia)

Tok Gajah yang turun tanpa beberapa tonggak utama pada perlawanan ini masih optimis mampu mengekalkan Piala Sumbangsih di bumi Pahang. Menurut pengendali pasukan Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan, "Pemain saya lebih tumpukan kepada permainan. Mereka tidak akan ingat hal di luar atau apa saja cubaan provokasi penyokong. Bila wisel perlawanan ditiup, mereka akan menjalankan tugas dengan baik dan tidak fikir perkara luar. Mereka sudah melakukan sebelum ini dan boleh mengulanginya." (sumber:http://www.hmetro.com.my/node/27561?m=1 ) 

(Zainal Abidin Hassan, Pengendali Tok Gajah. Kredit poto, Utusan Online)

Berdepan dengan Juara Liga Super 2014 ternyata mencabar dan pasukan Pahang perlu lebih berhati-hati dengan kehadiran tonggak import pasukan tuan rumah yang ternyata beberapa kali menggegar gawang pasukan Pahang dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini. 

(Bojan dan Dickson semasa bersama TRW. Sumber Sokernet.com)

Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Bojan Hodak juga percaya bahawa anak buahnya mampu melakukan kejutan keatas pasukan Tok Gajah dengan strategi dan taktikal yang berbeza. "Saya tidak gusar pada pertembungan yang dianggap 'klasik' ini malah sudah ada perancangan rapi untuk menghadapi Pahang. Apapun, sudah pasti saya memburu tiga mata dan juga piala." (sumber: http://www.hmetro.com.my/node/27565?m=1)

Kedua-dua pasukan dilihat seimbang dari pelbagai aspek, cuma perlawanan pada malam ini bakal membuktikan pasukan mana yang layak bergelar juara Piala Sumbangsih. Ayuh kita sama-sama memberikan sokongan padu kepada pasukan Tok Gajah supaya mereka mampu membawa pulang Piala Sumbangsih ke negeri Pahang.
Kepada para penyokong yang ke Larkin, kami TokGajahForever mendoakan anda semoga selamat sampai dan selamat pulang, serta menjaga tingkah laku di stadium. Yang tidak berkesempatan ke stadium, anda boleh menonton perlawanan ini secara langsung di Astro Arena Saluran 801, TV1 dan TV3.

Teruskan menyokong kami, Tok Gajah Forever !!!

HOGOH PAHANG HOGOH !
DARI RODONG UNTUK RODONG !



Wednesday 28 January 2015

Piala Sumbangsih: Pertembungan Antara Dua Jaguh!!!

Liga Malaysia 2015 memulakan kempennya dengan perebutan Piala Sumbangsih antara dua Jaguh bolasepak Malaysia, Pasukan Pahang (Juara Piala Malaysia 2014) menentang Pasukan Johor DT (Juara Liga Super Malaysia 2014) .
Piala Sumbangsih yang juga dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah akan diadakan pada 31 Januari 2015 (Sabtu), jam 8.45 malam bertempat di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin (Rujuk Google Maps disini) .


Ayuh kita sama-sama memberikan sokongan padu kepada pasukan Tok Gajah supaya mereka mampu membawa pulang Piala Sumbangsih ke negeri Pahang.
Kepada para penyokong yang ke Larkin, kami TokGajahForever mendoakan anda semoga selamat sampai dan selamat pulang, serta menjaga tingkah laku di stadium. Yang tidak berkesempatan ke stadium, anda boleh menonton perlawanan ini secara langsung di Astro Arena Saluran 801.

Teruskan menyokong kami, Tok Gajah Forever !!!

HOGOH PAHANG HOGOH !
DARI RODONG UNTUK RODONG !

Monday 26 January 2015

Tiga Tahun Yang Mencabar

Detik bersejarah, 24 Januari 2012 merupakan satu tarikh yang tidak mungkin kami, Tok Gajah Forever lupakan. Pada tarikh inilah bermulanya gerak kerja kami secara sukarela mencari dan berkongsi info-info berkenaan pasukan kesayangan ramai iaitu pasukan TOK GAJAH. 


Tiga tahun kami bertahan atas sokongan daripada peminat pasukan Pahang yang sentiasa bersemangat dan dahagakan perkembangan terbaru berkenaan pasukan Pahang.

Jutaan terima kasih kepada semua, kami akan terus berjuang, seiring dengan perjuangan pasukan Pahang dan kalian semua. Teruskan menyokong kami, Tok Gajah Forever !!!

HOGOH PAHANG HOGOH !
DARI RODONG UNTUK RODONG !

Pasukan Pahang Berwajah Baru!!!

Satu Majlis Pelancaran Jersi Baru Pasukan Pahang telah diadakan baru-baru ini pada 24 Januari (Sabtu), bertempat di Stadium Darul Makmur. Rekaan jersi yang ditaja oleh pihak PUMA ini merupakan antara rekaan terkini (Klik link) yang telah diolah dan disesuaikan dengan corak yang lebih menarik, serta mengekalkan identiti pasukan PAHANG (kuning dan belang hitam putih) .





Dalam satu sidang media sebelum majlis pelancaran bermula, tumpuan diberikan kepada Ketua Jurulatih Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan yang optimis bahawa pasukan dibawah kendaliannya mempunyai kemampuan untuk beraksi ke peringkat tertinggi untuk Piala AFC musim ini. 
“Kita meletakkan sasaran layak ke perlawanan akhir Piala AFC bukan sahaja untuk Pahang tetapi bagi mengharumkan dan menaikkan imej bola sepak negara,” katanya selepas majlis pelancaran jersi baharu dan pas bermusim Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di Stadium Darul Makmur di sini .”

ULASAN
Pihak kami tertarik dengan kelancaran sidang media yang telah berlangsung baru-baru ini, kebanyakan media luar turut berpuas hati dengan cara PBNP mengendalikan sidang media. Ini merupakan satu tanda positif bahawa pihak PBNP telah mencuba yang terbaik untuk memuaskan hati pelbagai pihak berkenaan Majlis Pelancaran Jersi Baru Pasukan Pahang 2015.
Tetapi masih terdapat ruang bagi meningkatkan lagi tahap pengurusan Majlis/Program dari pihak PBNP. Majlis yang diberikan fokus (Sesi memperkenalkan jersi baru) sepatutnya dirancang dengan lebih teliti dan teratur. 
**Cadangan akan diberikan dalam entri akan datang.

HOGOH PAHANG HOGOH !
DARI RODONG UNTUK RODONG !

Wednesday 21 January 2015

Majlis Pelancaran Jersi Baru Pasukan Pahang 2015

Kami di pihak tokgajahforever.blogspot.com mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan para peminat pasukan Pahang yang setia bersama kami tokgajahforever.blogspot.com. Sebagai memulakan langkah pada tahun 2015 ini, kami mulakan entry berkenaan dengan Majlis Pelancaran Jersi Baru Pasukan Pahang 2015.



Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) akan mengadakan Majlis Pelancaran Jersi Baru Pasukan Pahang bagi musim 2015 pada 24 Januari 2015, hari Sabtu ini bertempat di Stadium Darul Makmur, Kuantan, jam 5 petang.

Ayuh para penyokong pasukan Pahang, hadirlah demi pasukan kesayangan anda. Gambar-gambar yang anda ambil disekitar majlis pelancaran itu nanti boleh dikongsikan dengan kami di FaceBook Tok Gajah Forever untuk tatapan peminat-peminat Pahang. 

HOGOH PAHANG HOGOH !
DARI RODONG UNTUK RODONG !