Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Sunday, 2 February 2014

Piala FA 2014: Kota Singa dilanggar Gajah



Kekecewaan penyokong Pahang dengan dua kekalahan berturut-turut dalam aksi liga super sebelum ini sedikit terubat apabila pasukan Pahang berjaya layak ke suku akhir Piala FA 2014, dengan mengalahkan pasukan Lions XII 1-2 di Stadium Jalan Besar, semalam.

Menentang pasukan Lions XII yang tidak pernah kalah di stadium mereka sejak tahun 2012, rekod itu memberi motivasi tambahan kepada pemain skuad Tok Gajah beraksi baik untuk memburu slot ke suku akhir.

Penyokong tuan rumah patut berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Izwan Mahbud yang berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya dua peluang keemasan Pahang di separuh masa pertama.

Cubaan Fauzi Roslan pada minit ke 18 yang cuba melorong bola melepasi pertahanan lawan, berjaya diselamatkan Izwan Mahbud, dan cubaan susulan Matias juga berjaya diselamatkan oleh penjaga gol lawan tersebut.

12 minit kemudian, giliran Azammuddin pula berpeluang membuka jaringan pertama untuk pasukan Pahang, namun sekali lagi Izwan Mahbud cemerlang menghalang tendangan itu.

Tamat separuh masa, Lions 0-0 Pahang

Pahang beraksi lebih bertenaga pada separuh masa kedua dan tidak menunggu lama untuk mendahului lawan menerusi sepakan percuma cantik Hafiz Kamal  pada minit ke-50.

Tiga minit kemudian, Azidan Sarudin mengandakan jaringan buat skuad Tok Gajah apabila sepakan “first timer” dari luar kotak penalti  berjaya mengelirukan penjaga gol lawan.

Pemain-pemain Pahang meraikan gol Hafiz Kamal
FOTO: Shirly Hamra (FAS)
Safuwan Baharuddin berjaya merapatkan kedudukan buat pasukan tuan rumah melalui sepakan percuma dari jarak 30 meter beliau terkena tiang sebelum terpantul ke kepala Khairul Azhan masuk ke dalam gol.

Gol tersebut sudah lewat untuk Lions XII untuk bangkit apabila Pahang kebal bertahan untuk menempatkan diri ke saingan suku akhir pada bulan Mac nanti.

Ulasan
Kemenangan semalam sungguh bermakna buat pemain-pemain Pahang yang beraksi perlawanan ke-4 di tempat lawan. Keletihan begitu kelihatan kepada majoriti pemain pada perlawanan sudah memasuki minit 70, memaksa Ron Smith membuat beberapa pertukaran.

Sesuatu yang indah juga buat pasukan Pahang yang berjaya memecah rekod Lions yang18 bulan tidak pernah kalah di Stadium Jalan Besar sebelum ini. Ini merupakan kemenangan pertama Pahang di sana.

Pasukan Pahang kembali bermain di Stadium Darul Makmur,
Jumaat depan. FOTO: Shirly Hamra (FAS)
Ron Smith melakukan sedikit pertukaran dalam kesebelasan utama untuk perlawanan ini, dengan Poyeng mengambil tempat Ijan di bek kiri dan Koji bergandingan dengan Conti di hadapan. Percaturan ini menjadi kerana berjaya memberi kestabilan di bahagian tengah pasukan.

5 perlawanan dalam masa 15 hari pasti memenatkan buat pasukan,diharapkan pemain-pemain diberikan rehat secukupnya sebelum aksi seterusnya menentang JDT di Stadium Darul Makmur, Jumaat hadapan.

Hogoh Pahang Hogoh!!
Menang tak bermegah, kalah takkan rebah!!

Line up Pahang vs Lions XII
Azhan; Razman, Stewart, Rehman, Saifulnizam(Shahrizan); Azzamuddin, Hafiz, Azidan, Gopi(Faisal); Matias, Fauzi(Faizol)



Wednesday, 29 January 2014

Liga Super 2014: Tumbang sekali lagi



Jaringan tunggal Paulo Rangel menghadiahkan pasukan Pahang kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super 2014.


Dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ semalam, Pahang mampu mendahului lawan seawal minit ke-6, apabila Azzammuddin sudah menjaringkan gol, namun gol itu dibatalkan akibat offside.  Selang beberapa minit selepas itu, Khairul Azhan berjaya menyelamatkan percubaan pemain import lawan, Junior Aparecido dalam keadaan satu lawan satu.


Pahang sekali lagi mencemaskan gawang Selangor menerusi larian deras R. Gopinathan dari sebelah tepi berjaya menewaskan pertahanan Red Giant, tetapi hantaran lintang beliau tidak dapat dapat disudahkan oleh Matias Conti.


Ketumpulan di bahagian depan pasukan Pahang yang mensia-siakan peluang menyebabkan keputusan seri buat separuh masa pertama


Bermula separuh masa kedua, Selangor meningkatkan tahap permainan mereka. Usaha mereka berhasil apabila Rangel tidak membuat kesilapan untuk menanduk masuk hantaran lintang Junior.


Tersentak dengan gol itu, Pahang cuba bangkit dengan melakukan membawa masuk Faizol, Fauzi dan Shafie, namun benteng pertahanan Red Giant gagah bertahan.


Tamat perlawanan, Selangor 1-0 Pahang


Ulasan
Ada peningkatan, namun belum cukup untuk memberi kemenangan. Itu lah kesimpulan yang dapat dibuat dari aksi pasukan Pahang menentang Selangor semalam.


Pahang bermain baik di separuh masa pertama, dengan 3 percubaan yang mampu memberikan gol, tetapi disia-siakan pemain-pemain Pahang. Selangor yang mengesan kekuatan pasukan Pahang, menukar taktik mereka menyebabkan meraka mampu menguasai permainan di separuh masa kedua.

Kekalahan ini semestinya memberi tamparan hebat kepada penyokong mahunpun pemain skaud Tok Gajah. Diharapkan pemain tidak putus semangat untuk memperbaiki kedudukan pasukan Pahang di dalam carta liga. Penyokong juga harus terus memberi sokongan dan semangat kepada pasukan supaya Pahang mampu bangkit di perlawanan yang seterusnya.


Hogoh Pahang Hogoh!


Line up Pahang vs Selangor:
Azhan; Razman, Stewart, Rehman, Shahrizan; Alex (Shafie), Azidan, Poyeng(Fauzi), Hafiz(Faizol), Gopi; Matias



Monday, 27 January 2014

Liga Super: Kekalahan pertama



Pahang menerima kekalahan pertama tahun ini selepas ditundukkan pasukan Sime Darby, 1-0 di Stadium Selayang, Sabtu lalu.


Beraksi di tempat lawan, Pahang garang mengasak dari awal untuk memburu gol awal. Gopi berjaya mengelecek masuk ke kotak penalti lawan, sebelum sepakan beliau dihalang pertahanan Sime Darby. 

Pasukan tuan rumah yang masih segar dari kemenangan ke atas ATM FA di dalam saingan Piala FA, mula mendapat rentak selepas itu dengan penyerang import mereka, Mahmood Al-Amna melakukan cubaan dari luar kotak, namun tepat ke dakapan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan.

Pada minit ke-23, Pahang dapat sepakan percuma selepas Azidan dikasari pemain Sime Darby,tetapi sepakan percuma tersebut mudah dipatahkan oleh pertahanan lawan.

Sime darby yang mendapat keyakinan selepas it terus menguji pintu gol Pahang, namun Azhan kebal menangkis asakan-asakan lawan.

Pahang hampir mendahului pada minit ke 40 apabila Azzamuddin melepasi pertahanan di kiri padang sebelum melakukan hantaran lintang kepada Conti tetapi sekali lagi cubaan tersebut tersasar.

Tamat separuh masa, Sime Darby 0-0 Pahang.

Bermula separuh masa kedua, Sime Darby terus menyerang Pahang yang masih terkial-kial untuk menguasai bahagian tengah padang.

Benteng kebal pasukan Tok Gajah akhirnya roboh juga pada minit ke 50, selepas Azhan tidak dapat mengagak tandukan Fahrul Razi dari sebelah kanan.

Pahang cuba bangkit selepas itu, namun terganggu dengan aksi pemain lawan yang banyak bermain provokasi  sehingga perlawanan menjadi tegang. Beberapa orang pemain tidak dapat mengawal emosi dan banyak insiden pergaduhan kecil berlaku antara pemain kedua-dua pasukan.

Sime Darby yang mula mengendurkan asakan dan berkampung di kawasan sendiri selepas mendahului menyebabkan pasukan Pahang sukar mencari gol penyamaan.

Tamat perlawanan, Sime Darby 1-0 Pahang.

Ulasan
Kesan beraksi 120 minit di Ipoh, pasukan Pahang sekali tidak mampu mempamerkan permainan sebenar mereka di perlawanan ke 2 liga super tahun ini.

Pasukan lawan menggunakan sepenuhnya kelebihan mereka ada untuk menguasai perlawanan.Sime Darby begitu selesa bermain di home mereka, manakala Pahang bergelut dengan kepenatan dan tekanan turun sebagai pasukan juara Piala Malaysia.

Kelemahan paling ketara pasukan Tok Gajah adalah di bahagian tengah yang tidak berfungsi dengan baik. Ron Smith cuba mengandingkan Poyeng dengan Azidan, namun tidak menjadi. Aksi Gopi di sayap kanan juga kurang berkesan.

Taktikal pasukan lawan yang lebih suka bertahan lebih menyukarkan pasukan Pahang. Matias Conti  tidak mampu bergerak bebas setelah dirantai pemain import pertahanan lawan. Aksi pemain serangan sangat terhad dan beberapa sepakan sudut dan sepakan percuma juga banyak di sia-siakan.

Diharapkan, di perlawanan yang seterusnya bertemu Selangor, staff kejurulatihan Pahang dapat menyenaraikan pemain terbaik di kesebelasan utama.  Setiap pemain juga perlu meningkatkan tahap permainan mereka supaya pasukan mampu bangkit di perlawanan ini.

Hogoh Pahang Hogoh

Line up Pahang vs Sime Darby
Azhan; Razman, Stewart, Rehman, Shahrizan; Gopi(Koji), Azidan, Saiful Nizam(Faizol), Faisal(Malik); Alex, Conti