Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Saturday, 28 September 2013

Pahang masih belum selesa


Kemenangan 3-2 ke atas PKNS FC di Stadium Darul Makmur malam tadi memberi sedikit kelegaan kepada para penyokong Pahang yang bertandang ke stadium. Setelah mendahului pada minit pertama , gerakan-gerakan menarik dan agresif dilakukan oleh pasukan Pahang . Asakan bertubi-tubi ke arah pintu gol lawan hampir-hampir memberi gol kepada pasukan Pahang termasuk gol yang dijaringkan oleh Stewart dibatalkan kerana dikatakan berada pada posisi offside. Ekoran kelekaan barisan pertahanan Pahang dalam masa 2 minit, PKNS pula mendahului 2-1. Keputusan 2-1 ini kekal sehingga tamat separuh masa kedua.


Di awal separuh masa kedua, PKNS hampir-hampir menambah jaringan hasil rembatan jarak jauh daripada Nazmi Faiz. Pasukan Pahang tidak menunggu lama untuk kembali berada di landasan yang betul setelah Conti menanduk masuk hasil hantaran bola daripada Surendran. Tidak lama selepas itu, rembatan Amirul Hadi ke arah pintu gol lawan menghasilkan bola muntah dan disambar laju oleh Matias Conti untuk memberikan keputusan 3-2 sehingga tamat perlawanan.

Man of the match: Matías Conti
Matias Conti melakukan hatrik pertamanya bersama pasukan Pahang dan tahniah juga diucapkan kepada beliau kerana dipilih menjadi man of the match malam tadi. Ini sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada beliau untuk score dalam perlawanan di tempat lawan minggu hadapan.


Stewart berjaya mengekang aksi berbahaya Patrick Ronaldinho

Tahniah juga diucapkan kepada pertahanan pasukan Pahang semalam yang bersungguh-sungguh menyekat barisan serangan PKNS. Walaupun Patrick Ronaldinho dapat menjaringkan 1 gol malam tadi, tetapi sekurang-kurangnya beliau tidak dapat banyak bergerak kerana dikawal oleh Stewart dan rakan-rakan. Penyerang berbisa Liberia itu sememangnya sangat berbisa dan mempunyai finishing yang sangat tajam. Perlu diberi perhatian pada perlawanan timbal balik minggu hadapan.


Alex terpaksa dikeluarkanselepas mengalami kecederaan
di separuh masa kedua.


Diharapkan juga Azamuddin Akil tidak mengalami kecederaan yang serius dan berpanjangan selepas terpaksa dibawa keluar dan digantikan dengan Kojie. 2 kad kuning ( Stewart, Jalal ) juga dikutip malam tadi. Harap-harap selepas ini mereka lebih berhati-hati agar tidak mengutip kad kuning yang kedua agar tidak digantung daripada beraksi untuk perlawanan-perlawanan penting selepas ini.


3 gol berbalas dua dianggap tidak selesa buat pasukan Pahang untuk bertandang ke tempat lawan. Tapi , perlawanan masih berbaki 90 minit, dan tidak mustahil Pahang mampu pergi ke peringkat seterusnya. Amin. Tahniah kepada Tengku Muda Pahang yang turut turun padang malam tadi. Tahniah juga kepada penyokong -penyokong Pahang yang memenuhi Stadium Darul Makmur memberikan sokongan .


"Football without fan is nothing"

Hogoh Pahang Hogoh !!



Sunday, 22 September 2013

Piala Malaysia 2013: Terengganu penyelamat Pahang



Sekalipun diaibkan oleh Kelantan 4-0 malam tadi, Pahang masih tetap mampu mengukir senyuman apabila mengiringi juara bertahan itu layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Skuad bimbingan Dollah Salleh seharusnya terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada jiran mereka, Terengganu yang sudah tersingkir dari pada saingan apabila berjaya mengikat Negeri Sembilan 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Walaupun berkongsi lapan mata dengan Negeri Sembilan, skuad Tok Gajah layak atas ke lebihan jaringan.

Pahang hampir di depan ketika permainan baru memasuki minit keempat apabila rembatan Amirulhadi Zainal terbias Shakir Shaari dan bola menuju tepat ke gawang tuan rumah namun Khairul Fahmi pantas menguis keluar bagi menyelamatkan keadaan.

Anak buah Bojan Hodak kembali memberi tentangan sengit empat minit kemudian apabila Faiz Subri bijak melintang bola kepada Indra Putra Mahayuddin betul-betul di depan gawang pelawat namun rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri.

Aksi permainan kedua-dua pasukan bertambah rancak, bermula gerakan solo Norfarhan Muhammad yang mengumpan kepada Indra Putra pada minit ke-16 namun teragak-agak untuk mengutip bola di dalam kotak penalti sebelum pelawat membalas menerusi tandukan R Gopinathan yang sedikit melewati gawang tuan rumah seminit kemudian.

Suasana di stadium keramat bergema dengan sorakan padu hampir 25,000 penyokong apabila Kelantan memperoleh gol pertama pada minit ke-20.

Ketua Pasukan, Badhri Radzi bijak melorongkan bola kepada Indra Putra dan bekas pemain kebangsaan itu mudah memperdayakan penjaga gol, Khairul Azhan sebelum menolak masuk ketika gawang pelawat ternganga luas.

Ternyata jaringan tersebut menghangatkan lagi tempo perlawanan dan anak buah Dollah Salleh jelas tidak patah semangat untuk bangkit menyamakan kedudukan tetapi dikecewakan ketangkasan Khairul Fahmi yang menepis keluar rembatan Gopinathan pada minit ke-23.

Menuju minit ke-29, Kelantan kempunan untuk mendapatkan sepakan penalti apabila bola didakwa terkena tangan pertahanan Pahang, Saiful Nizam Miswan di dalam kotak penalti namun pengadil, Syed Azhar Syed Kamar tidak terpedaya dengan rayuan pemain tuan rumah.

Tok Gajah seharusnya berjaya mengimbangi kedudukan pada minit ke-42 apabila Damion Stewart pantas melonjak tinggi dengan menanduk sepakan bebas Mohd Saiful Nizam namun Matias Conti gagal menyambar bola di depan gawang tuan rumah.

Tidak cukup dengan jaringan tersebut, Hodak melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan bintang import sensasi, Dickson Nwakaeme bagi menggantikan Mohd Faiz Subri sebaik babak kedua bersambung.

Penyerang Nigeria itu tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mempamerkan sentuhan berbisanya apabila melakukan umpanan pendek kepada Indra Putra pada minit ke-46 namun percubaannya tersasar di atas palang pelawat.

Kemaraan Nwakaeme seakan sukar dibendung apabila dia secara bersahaja mudah memperdayakan dua pertahanan pertahanan Pahang pada minit ke-51 sekali gus mencetuskan situasi kelam-kabut namun Mohd Norfarhan gagal menolak masuk ke gawang pelawat.

Kubu akhir Pahang terus diasak pada minit ke-63, juga menerusi Nwakaeme yang memanfaatkan kesilapan Azidan Sarudin yang kehilangan bola di luar kotak penalti namun percubaannya diselamatkan Khairul Azhan.

Pelawat bangkit melancarkan serangan balas pantas tiga minit kemudian menerusi gerakan solo Gopinathan tetapi rembatan derasnya dari luar kotak penalti singgah di tiang gol kiri Kelantan ketika Khairul Fahmi sudah tertewas di posisinya.

Namun seminit kemudian, bermulalah pesta gol buat Kelantan apabila Nwakaeme dengan tenang memporak-perandakan benteng pertahanan pelawat di dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan ke penjuru sebelah kiri untuk gol kedua pasukannya.

Kem Pahang ceria seketika pada minit ke-71 apabila Amirulhadi meletakkan bola di dalam gawang tuan rumah namun pengadil tidak mengiktirafkan jaringan tersebut setelah bekas pemain Selangor itu dikesan berada dalam posisi ofsaid.

Menghampiri minit ke-82, Nwakaeme terus mempamerkan kejantanannya apabila meledakkan gol ketiga Kelantan dengan menolak masuk sepakan bebas Zairo Anuar Zalani setelah berlaku salah faham di antara Kapten Pahang, Mohd Razman Roslan dan penjaga golnya.

Seminit sebelum permainan berakhir, Nwakaeme terus menggila apabila mudah melepasi kekangan dua pemain pertahanan pelawat sebelum merembat kencang melepasi jangkaun Khairul Azhan untuk melengkapkan hatrik pertamanya bersama Kelantan pada musim ini.

Walau tumpas di tempat lawan , semangat juang yang tinggi
ditunjukkan oleh penyokong-2 Pahang yang hadir
membuatkan suasana duka menjadi meriah 
RUMUSAN
Walaupun sudah layak ke suku akhir, pasukan Pahang perlu segera baiki kesilapan-kesilapan yang menyebabkan kita tumbang di Kota Bahru.  Ketidakmampuan barisan Pahang membaca hantaran through pass pasukan Kelanatan menyebabkan lawan terlalu mudah menjaringkan gol.

Kehadiran pemain Nwakame pada separuh masa kedua pula memberi masalah tambahan kepada barisan pertahanan. Nwakame mempunyai kawalan bola yang baik dan fizikal yang keras menyebabkan pemain pertahanan Pahang terlalu sukar mengawal beliau semalam.

Selepas Kelantan mendapat gol kedua, pemain Pahang pula seperti sudah mengalah dan berputus asa. Kelantan mengambil kesempatan ini untuk menambah jaringan.

Untuk aksi suku akhir, Pahang akan bertemu pasukan kelab,PKNS FC yang muncul pasukan paling kosisten dalam kempem Piala Malaysia tahun ini. Pasukan Pahang perlu melakukan persedian rapi untuk menghadapi mereka.

Dollah Salleh perlu mengkaji bagaimana cara terbaik mahu mengekang pemain import mereka, Patrick Ronaldinho. Beliau adalah tonggak utama pasukan PKNS dan corak permainan Patrick adalah lebih kurang dengan Nwakame dan jika Pahang berjaya mengunci pemain ini, Pahang tidak menghadapi masalah untuk ke separuh akhir.

Hogoh Pahang Hogoh!!!
Menang Tak Bermegah, Kalah Takkan Rebah!!!


LINEUP: Pahang (vs Kelantan)
Azhan(GK); Poyeng, Stewart, Razman, Ijan;Yol,Hafiz, Azidan, Gopi; Alex, Conti


Wednesday, 18 September 2013

Piala Malaysia 2013: Selangkah ke suku akhir


Peluang Pahang untuk menempah tiket ke suku akhir kini kembali cerah apabila berjaya membenam Negeri Sembilan 3-0 dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Namun, skuad kendalian Dollah Salleh itu terpaksa menunggu babak kedua perlawanan untuk mengesahkan kemenangan apabila menjaringkan tiga gol.

Peluang terbaik skuad Tok Gajah hadir menerusi Azamuddin Akil pada minit ke-13 tetapi rembatannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan penjaga gol Negeri Sembilan, Badrulzaman Abdul Halim.

Pahang terus menguasai perlawanan selepas itu dan cuba menjaringkan pertama pada minit-30 menerusi tendangan cantik Amirulhadi Zainal namun gagal menembusi gawang skuad Rusa selepas bola tersasar ke tepi palang.

Setelah "silent mode" selama 30 minit,Elephant Army kembali beraksi memberi sokongan kepada pasukan Pahang

Negeri Sembilan pula nampak lemah walaupun beberapa kali percubaan gagal disempurnakan selepas pertahanan Tok Gajah berjaya mematahkan serangan.

Minit ke-45, Pahang sekali lagi mendapat peluang menerusi sepakan percuma oleh Azidan Sarudin tetapi berjaya ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Badrulzaman Abdul Halim.

Kembali separuh masa kedua, perlawanan nampak seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Namun, kealpaan pertahanan skuad Rusa membawa padah apabila hantaran cantik Azidan berjaya dirembat masuk oleh Matias Conti pada minit ke-50.

Pertahanan Negeri Sembilan sekali lagi dihukum apabila hantaran cantik Amirulhadi berjaya disepak masuk oleh R. Gopinathan pada minit ke-70.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Negeri Sembilan cuba bangkit dengan membuat beberapa serangan, namun digagalkan pertahanan Pahang.

Bagaimanapun, Pahang yang mendapat sepakan percuma pada minit ke-83 tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tendangan cantik Azidan gagal ditepis keluar penjaga gantian N.Sembilan, Kaharuddin Abdul Rahman,  menjadikan Tok Gajah kekal mendahului 3-0 sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan tiga mata berharga.

Masa penuh, Pahang 3-0 N.Sembilan

Y.A.M. Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman
meraikan kemenangan Pahang bersama rakyat jelata.

Rumusan
Secara keseluruhan, semua pemain Pahang beraksi baik. Pemain menunjukkan semangat untuk dengan banyak melakukan serangan dari awal perlawanan dengan pasukan lawan lebih selesa bertahan.

Pada separuh masa kedua, taktikal Dollah yang menyuruh meningkatkan tempo perlawanan berhasil dengan dapat menjaringkan tiga gol untuk mencerahkan lagi perluang untuk layak ke suku akhir nanti.

Untuk perlawanan di Kota Bahru sabtu ini, pasukan Pahang hanya perlukan seri. Diharapkan staf kejurulatihan dapat mengukuhkan barisan pertahanan jika mahu mencuri satu mata di tempat lawan. Pasukan Kelantan mempunyai barisan serangan yang baik dan Dollah Salleh perlu merangka strategi terbaik untuk mengekang mereka.

Azidan berjaya menjaringkan gol pertama beliau
untuk pasukan Pahang

Pemain terbaik dalam perlawanan malam tadi diberikan kepada Azidan Sarudin. Turun dalam kesebelasan utama,beliau menyumbang satu gol dan satu assist untuk membantu pasukan Pahang merakamkan kemenangan. Ia merupakan gol pertama beliau sejak beraksi bersama Pahang. Semoga Azidan terus beraksi cemerlang dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.


Kepada penyokong-penyokong Pahang datang ke stadium semalam, anda memang terbaik. Terima kasih di atas sokongan semua terutama Elephant Army yang kembali menyokong pasukan Pahang. Ayuh bangkit kita raih juara,Piala Malaysia.

Hogoh Pahang Hogoh!!!
Menang Tak Bermegah, Kalah Takkan Rebah!!!


LINEUP: Pahang (vs N.Sembilan)
Azhan(GK); Poyeng, Stewart, Razman, Ijan;Yol,Hafiz, Azidan, Gopi(Suren); Alex, Conti(Kojie)


Sunday, 1 September 2013

Piala Malaysia 2013: Kelekaan membawa padah


Sedikit kelekaan membawa padah.begitulah yang dapat digambarkan perlawanan malam semalam apabila Pahang tewas di tangan Terengganu, 2-1 di Kuala Terengganu dalam aksi Piala Malaysia 2013.

Separuh masa pertama perlawanan dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.Pahang menggunakan sepenuhnya pemain sayap kiri dan kanan yang di kemudi oleh alex di sebelah kanan manakala gopi di sebelah kiri. 

Beberapa serangan daripada Pahang hampir membuahkan hasil namun jentera serangan yang di ketuai oleh Matias Conti gagal menterjemahkannya kepada gol yang di cari.

Conti dilihat mempunyai beberapa peluang terbuka untuk menjaringkan gol namun percubaan demi percubaan olehnya Berjaya di selamatkan oleh penjaga gol Terengganu.Alex dan hafiz kamal juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun nasib masih tidak menyebelahi Pahang.


Pada separuh masa pertama juga 2 pemain Pahang dilayangkan kad kuning iaitu Shahrizan dan Hafiz kamal.

Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Bermula separuh masa kedua tempo perlawanan semakin rancak di mana kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.kemasukan penyerang sensasi Pahang Koji yang menggantikan Matias Conti diharap dapat membantu pasukan menjaringkan gol penyamaan namun Koji yang baru pulih daripada kecederaan dilihat masih mencari rentaknya.

Jaringan pembukaan Terengganu dihasilkan penyerang import mereka, Effa Owana minit ke-53.

Kemasukan Suren menggantikan Yol juga memberi suntikan semangat kepada jentera serangan Pahang dan hasilnya,gol penyamaan yang di cari-cari berjaya di perolehi hasil tandukan pemain Pahang alex. 

Hasil daripada gol penyamaan tersebut,Pahang dilihat semakin rakus untuk meratah pasukan tuan rumah namun hasil satu serangan balas pada minit-minit akhir perlawanan,pasukan tuan rumah berjaya menghancurkan harapan pasukan dan penyokong tok gajah yang hadir dengan gol daripada pemain muda pasukan Terengganu iaitu Khairul Ramadan.

Tamat perlawanan, Terengganu 2, Pahang 1.

Rumusan

Tamat perlawanan ke-4, Pahang berada di tempat kedua hanya dibezakan dengan jaringan gol berbanding pasukan Kelantan di tempat ketiga. Nak tak nak, Pahang kena menang 2 lagi baki perlawanan untuk layak ke suku akhir.

Rehat 3 minggu ini harus digunakan sebaiknya oleh Dollah Salleh untuk menyediakan pasukan. Adakan perlawanan persahabatan sekurang-kurangnya dua perlawanan supaya momentum perlawanan tidak hilang.

Juga diharapkan tempoh rehat ini dapat memulihkan kecergasan para pemain terutama Matias Conti yang dikhabarkan mengalami kecederaan hamstring semalam.

Hogoh Pahang hogoh!!!
Menang tak bermegah, kalah takkan rebah!!!

Line up Pahang vs Terengganu

Azhan; Poyeng, Razman, Stewart, Shahrizan; Alex, Faizol, Hafiz, Amirulhadi(Suren), Gopi;Conti(Kojie)