Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Wednesday, 18 September 2013

Piala Malaysia 2013: Selangkah ke suku akhir


Peluang Pahang untuk menempah tiket ke suku akhir kini kembali cerah apabila berjaya membenam Negeri Sembilan 3-0 dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Namun, skuad kendalian Dollah Salleh itu terpaksa menunggu babak kedua perlawanan untuk mengesahkan kemenangan apabila menjaringkan tiga gol.

Peluang terbaik skuad Tok Gajah hadir menerusi Azamuddin Akil pada minit ke-13 tetapi rembatannya dari luar kotak penalti terus ke dakapan penjaga gol Negeri Sembilan, Badrulzaman Abdul Halim.

Pahang terus menguasai perlawanan selepas itu dan cuba menjaringkan pertama pada minit-30 menerusi tendangan cantik Amirulhadi Zainal namun gagal menembusi gawang skuad Rusa selepas bola tersasar ke tepi palang.

Setelah "silent mode" selama 30 minit,Elephant Army kembali beraksi memberi sokongan kepada pasukan Pahang

Negeri Sembilan pula nampak lemah walaupun beberapa kali percubaan gagal disempurnakan selepas pertahanan Tok Gajah berjaya mematahkan serangan.

Minit ke-45, Pahang sekali lagi mendapat peluang menerusi sepakan percuma oleh Azidan Sarudin tetapi berjaya ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Badrulzaman Abdul Halim.

Kembali separuh masa kedua, perlawanan nampak seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Namun, kealpaan pertahanan skuad Rusa membawa padah apabila hantaran cantik Azidan berjaya dirembat masuk oleh Matias Conti pada minit ke-50.

Pertahanan Negeri Sembilan sekali lagi dihukum apabila hantaran cantik Amirulhadi berjaya disepak masuk oleh R. Gopinathan pada minit ke-70.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Negeri Sembilan cuba bangkit dengan membuat beberapa serangan, namun digagalkan pertahanan Pahang.

Bagaimanapun, Pahang yang mendapat sepakan percuma pada minit ke-83 tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tendangan cantik Azidan gagal ditepis keluar penjaga gantian N.Sembilan, Kaharuddin Abdul Rahman,  menjadikan Tok Gajah kekal mendahului 3-0 sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan tiga mata berharga.

Masa penuh, Pahang 3-0 N.Sembilan

Y.A.M. Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman
meraikan kemenangan Pahang bersama rakyat jelata.

Rumusan
Secara keseluruhan, semua pemain Pahang beraksi baik. Pemain menunjukkan semangat untuk dengan banyak melakukan serangan dari awal perlawanan dengan pasukan lawan lebih selesa bertahan.

Pada separuh masa kedua, taktikal Dollah yang menyuruh meningkatkan tempo perlawanan berhasil dengan dapat menjaringkan tiga gol untuk mencerahkan lagi perluang untuk layak ke suku akhir nanti.

Untuk perlawanan di Kota Bahru sabtu ini, pasukan Pahang hanya perlukan seri. Diharapkan staf kejurulatihan dapat mengukuhkan barisan pertahanan jika mahu mencuri satu mata di tempat lawan. Pasukan Kelantan mempunyai barisan serangan yang baik dan Dollah Salleh perlu merangka strategi terbaik untuk mengekang mereka.

Azidan berjaya menjaringkan gol pertama beliau
untuk pasukan Pahang

Pemain terbaik dalam perlawanan malam tadi diberikan kepada Azidan Sarudin. Turun dalam kesebelasan utama,beliau menyumbang satu gol dan satu assist untuk membantu pasukan Pahang merakamkan kemenangan. Ia merupakan gol pertama beliau sejak beraksi bersama Pahang. Semoga Azidan terus beraksi cemerlang dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.


Kepada penyokong-penyokong Pahang datang ke stadium semalam, anda memang terbaik. Terima kasih di atas sokongan semua terutama Elephant Army yang kembali menyokong pasukan Pahang. Ayuh bangkit kita raih juara,Piala Malaysia.

Hogoh Pahang Hogoh!!!
Menang Tak Bermegah, Kalah Takkan Rebah!!!


LINEUP: Pahang (vs N.Sembilan)
Azhan(GK); Poyeng, Stewart, Razman, Ijan;Yol,Hafiz, Azidan, Gopi(Suren); Alex, Conti(Kojie)