Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Tuesday, 3 February 2015

[Piala Sumbangsih] Tok Gajah Terkulai di Larkin

(Kredit poto, Dunia Sukan)

Juara treble musim lalu, Pahang, tewas di tangan Johor DT dalam pertembungan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih) yang berlangsung di Stadium Larkin Sabtu lalu. Johor DT yang tampil dengan persembahan yang lebih meyakinkan telah membuatkan Pahang berputih mata untuk mengekalkan Piala Sumbangsih di negeri Tok Gajah. 
Johor DT bermula garang dengan asakan bertali arus ke atas kubu pertahanan Pahang yang agak rapuh tanpa kehadiran Saiful Nizam Miswan (Poyeng) yang digantung perlawanan. Perlawanan berkesudahan dengan Johor DT menewaskan Pahang dengan keputusan 2-0. Gol dijaringkan oleh Marcos Antonio (36') dan Luciano Figueroa (59')

Ulasan
Pahang memulakan musim 2015 dengan langkah kiri apabila tewas kepada Johor DT 2 - 0 dalam merebut Piala Sumbangsih baru-baru ini. Ternyata persiapan pasukan Pahang masih belum mencapai tahap yang memuaskan dan perlu dipertingkatkan dengan segara atau kita akan kehilangan dua lagi piala yang dimenangi musim lalu. 
Beberapa perkara dapat dilihat dari perlawanan tempoh hari kami kongsikan disini. 

1. Taktikal yang sama
    Taktikal yang digunakan oleh Zainal Abidin Hassan merupakan taktikal yang bagus dan mampu mengejutkan pasukan lawan setiap kali bertemu dengan pasukan Tok Gajah. Tetapi taktikal dan corak permainan pasukan perlu divariasikan supaya sukar dibaca oleh pihak lawan. Mungkin inilah  salah satu punca kekalahan kepada JDT apabila Bojan Hodak berjaya membaca corak perlawanan Pahang dan mudah mengekang setiap pergerakan pemain-pemain Tok Gajah. 

2. Pemain tengah perlu lebih kreatif
    Pemain tengah pasukan Pahang, Azidan Sarudin dan Hafiz Kamal yang berpengalaman perlu lebih kreatif dan pelbagaikan corak permainan tengah supaya asakan ke kubu lawan dapat dipelbagaikan. Melakukan lambungan bola kepada "target man" setiap kali mendapat bola menyebabkan pertahanan JDT mudah mengekang kemaraan Dickson dan Conti diposisi serangan. Gandingan pertahanan JDT, Junior Eldstal dan Marcos Antonio dilihat begitu serasi dan kebal. Jika Pahang tidak mahu berputih mata dengan JDT pada perlawanan akan datang, Zainal Abidin Hassan perlu memikirkan sesuatu untuk mengatasi dua pertahanan kental JDT ini.

3. Pemain-pemain baru
    Zainal Abidin Hassan juga perlu memberi lebih kepercayaan kepada pemain-pemain baru kerana mereka juga mempunyai daya kompetitif yang tinggi serta tenaga muda mereka dapat digunakan untuk melakukan larian-larian yang mampu menggugat kedudukan pasukan lawan.
Dalam perlawanan Sumbangsih yang lalu, kemasukan Azam Azih dapat mengubah corak pasukan Pahang. Pemain ini perlu digilap lagi bakatnya oleh Zainal Abidin Hassan supaya kita tidak ketandusan pemain tengah yang berkualiti pada saingan akan datang.

(Azam Azih)

4. Gandingan Razman dan Stewart
    Pemain pertahanan Pahang, Razman dan Stewart mesti dikekalkan untuk mengekang asakan pasukan lawan. Kedua-dua pemain pertahanan ini mempunyai kesefahaman yang tinggi dan boleh dikatakan antara pertahanan yang terbaik.

Secara keseluruhannya perlawanan Piala Sumbangsih 2015, segala percaturan Pahang serba tidak menjadi dan berharap Zainal Abidin Hassan dapat melakukan sesuatu bagi memastikan prestasi pasukan Pahang terus gah dalam saingan musim 2015 ini. Kami para penyokong, khasnya dari TokGajahForever tetap bersama pasukan Pahang.

Jutaan terima kasih kepada semua, kami akan terus berjuang, seiring dengan perjuangan pasukan Pahang dan kalian semua. Teruskan menyokong kami, Tok Gajah Forever !!!

HOGOH PAHANG HOGOH !!!
DARI RODONG UNTUK RODONG !!!