Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Sunday, 7 July 2013

Liga Super 2013 : Penutup yang paling gila


Sembilan gol terakhir di dalam perlawanan yang menarik di Stadium Shah Alam malam.

Pada perlawanan terakhir Liga Super 2013 tersebut, Pahang yang turun dengan hajat membalas kekalahan perlawanan pada saingan pertama di mana pasukan PKNS memecah rekod tanpa kalah Pahang di Darul Makmur.

Di awal babak perlawanan, PKNS bergelut untuk menyaingi kepantasan dan kekemasan asakan barisan hadapan Pahang. Tidak terkejut Pahang dapat menjaringkan 2 gol pantas ketika perlawanan baru berlangsung 20 minit.

Amirulhadi membuka jaringan pada minit ke-10, hasil kombinasi beliau bersama Matias Conti dan kelemahan pertahanan PKNS mengeluar bola dari kawasan bahaya. Bekas pemain Selangor melakukan melakukan satu sepakan dari luar kotak penalti terus menuju top corner gawang PKNS.

Amirulhadi berjaya menjaringkan gol pertama beliau
untuk pasukan Pahang

Gol tersebut terus memberi tekanan kepada pasukan PKNS. Dari satu quick interchange passes di belah kanan, Hapiz berjaya melorong bola kepada Surendren sebelum Surendren melakukan satu hantaran lintang rendah kepada Gopi yang tidak kawal. Gopi dengan mudah menampan masuk bola tersebut.

Tersentak dengan dua gol Pahang, PKNS kembali mengatur rentak. Hasil satu hantaran jauh ke kotak penalti Pahang, pemain import PKNS, Ronaldinho berjaya menerima bola tersebut dengan baik sebelum memperdaya Khairul Azhan.

Bagaimanapun, Pahang kembali menjarakkan kedudukan setelah Matias Conti menyempurnakan penalti setelah Gopinathan dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahanan PKNS sekaligus bekalan selesa ke bilik persalinan.

Pahang memulakan separuh masa kedua dengan bergaya dengan menambah lagi dua gol untuk mendahului PKNS 5-1.

Fauzi Roslan yang terlepas peluang satu lawan satu sebelum itu, berjaya melorongkan bola kepada Faizol yang berlari di kiri padang lawan sebelum melepaskan satu sepakan dari sudut yang sukar yang tidak diselamatkan penjaga gol PKNS, Razi Effendi Suhit.

Faizol meraikan jaringan bersama Fauzi Roslan


Fauzi Roslan sekali lagi menjadi nadi gerakan untuk gol ke 5 Tokgajah selepas hantaran lintangnya ditanduk masuk kepten lawan, Helmi Remeli. Selepas gol tersebut, Pahang mengendurkan serangan ke kubu pertahanan lawan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya pasukan tuan rumah mendapat gol kedua. Patrick Ronaldinho yang sukar dikawal oleh barisan pertahanan Tokgajah, berjaya melepasi perangkap off-side sebelum menyepak masuk gol ke 2 PKNS.

Pada minit 77, Ronaldinho melengkapkan hatrik beliau selepas mengambil sepakan penalti yang setelah beliau dikatakan dijatuhkan oleh Jalal. Keputusan pengadil boleh dipersoalkan kerana kelihatan Patrick dengan sengaja menjatuhkan badan dalam kotak penalti.  Bagaimanapun, sepakan awal penalti Ronaldinho jauh dari sasaran awal, tetapi pengadil bermurah hati memberi peluang kedua untuk Ronaldinho menyempurnakan penalti tersebut.

Ketika perlawanan masuk minit-minit tambahan, PKNS sekali lagi berjaya mendapatkan gol. Ronaldinho betul-betul menjadi duri dalam daging pasukan Pahang apabila beliau menanduk masuk gol ke-4 pasukan tuan rumah.
Tamat perlawanan, Pahang 5-4 PKNS.

RUMUSAN
Walaupun perlawanan ini perlawanan terakhir liga, Pahang tetap bermain dengan hebat. Amirulhadi sebagai pemain terbaik perlawanan telah menjalankan tugas cemerlang, mengawal bahagian tengah dengan baik, di samping menjaringkan gol pertama beliau untuk pasukan Pahang tahun ini.

Dollah Salleh mengunakan formasi yang sama ketika bertemu ATM selasa lalu, dengan lima pemain midfield dengan Matias Conti penyerang tunggal di depan. Kombinasi ini sangat baik dengan memberi kestabilan di bahagian tengah dan memberi ruang kepada Suren dan Gopi melakukan serangan dengan lebih bebas tanpa perlu turun terlalu jauh untuk membantu pertahanan.

Walaupun satu ketika Pahang kembali bermain 4-4-2 ketika Suren dikeluarkan akibat kecederaan dengan Amirulhadi bermain di bahagian wing dan Kojie berpasangan dengan Conti, Dollah kembali menyuruh pasukan bermain 4-5-1 di separuh masa kedua.

Empat gol yang bolos dalam perlawanan ini perlu diperhalusi oleh barisan jurulatih dan diperlajari oleh benteng pertahanan. Patrick Ronaldinho merupakan seorang penyerang mempunyai corak permainan yang keras, cekap membaca gerakan rakan pasukan, dan pertahanan Pahang tidak mampu mengekang asakan beliau. Pahang betul-betul merasai kehilangan Stewart yang cedra pada separuh masa kedua.

Dengan kemenangan, Pahang berjaya naik satu tangga untuk mengakhiri saingan liga super tahun ini di tangga ke-5. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan Pahang, dari pemain hingga ke pihak pengurusan yang membuktikan Pahang bukan pasukan belasahan seperti diramal ramai pihak sebelum liga bermula. Tanpa pemain bintang, pasukan Pahang adalah pasukan Pahang mencabar kejuaraan dengan memperagakan corak permainan paling menarik dari pasukan lain. Segala kelemahan dan kekurangan pasukan harus diperbaiki sebelum saingan Piala Malaysia bermula selepas raya nanti.

Kepada seluruh penyokong Pahang, tahniah kepada anda semua kerana kembali menaruh minat kepada bola sepak Pahang setelah beberapa tahun menyepi. Ada penyokong kita berulang-alik beratus-ratus kilometer saban minggu,berabis duit gaji masing-masing, semata-mata untuk menzahirkan sokongan kepada pasukan Pahang. Semangat dan keazaman ini lah yang harus ditanam dalam setiap penyokong kita. Terima kasih di atas sokongan anda semua, orang Pahang memang steady.

Hogoh Pahang hohoh!!
Menang tak bermegah, Kalah takkan rebah!!

Line up Pahang vs PKNS
Azhan; Jalal, Razman, Stewart(Saifulnizam), Shahrizan; R.Surendren(Fauzi), Hapiz, Faizol(Azidan), Amirulhadi, Gopinathan; Conti