Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Wednesday 19 February 2014

Kita melangkah ke separuh akhir Piala FA 2014



Selepas kekalahan tempoh hari di Kuala Terengganu, pasukan Pahang kembali ke Stadium Darul Makmur untuk perlawanan suku akhir Piala FA. Berbekalkan 1 gol di tempat lawan dalam perlawanan suku akhir pertama , pasukan Pahang dilihat menggunakan peluang sebaik mungkin untuk bangkit .

Kesebelasan Utama Pahang Malam Tadi



Pada awal permainan, pasukan Pahang dilihat melakukan serangan awal tetapi tidak membuahkan hasil. Pasukan PDRM yang dibimbing Dollah Salleh pula mencorakkan rentak dengan mengawal permainan sekali sekala Pahang cuba merampas posession di separuh masa pertama. Akhirnya pada minit ke 39, larian deras yang dilakukan oleh kojie membuahkan hasil apabila rembatan padunya menerjah gawang. Rembatan yang kencang ,padu, dan bertenaga , itulah yang dapat disaksikan oleh para penyokong di SDM malam tadi. Tamat separuh masa pertama, Pahang mendahului dengan jaringan 1-0.

Masuk separuh masa kedua, pasukan PDRM dilihat terdesak mencari gol. Dalam usaha mereka itu, akhirnya satu gol berjaya mereka perolehi hasil set-piece daripada tendangan sudut. Selepas itu, barisan kejurulatihan Pahang membuat 3 pertukaran. Alex , Conti, dan Jalal dibawa masuk sebagai pemain gantian untuk mengubah rentak permainan. Kemasukan mereka nyata tidak sia-sia . Possession ball kembali menyebelahi pasukan Pahang. Sehinggalah masa tambahan 3 minit diumumkan, sekali lagi Pasukan Pahang membuktikan mereka adalah "King Of Last Minute" . Di minit ke 91, Pahang memperoleh gol kedua hasil sepakan percuma Hafiz Kamal. Gol itu sekaligus memberikan kemenangan kepada pasukan Pahang dan membawa Pahang melangkah ke separuh akhir Piala FA 2014. 


Hafiz meraikan jaringan gol di minit-minit akhir


 Sejarah sekali lagi berulang apabila Pahang dijadualkan bertemu JDT di separuh akhir. Separuh akhir ini akan berlangsung pada bulan Mei. Liga Super juga berehat seketika untuk memberi ruang kepada pasukan kebangsaan beraksi. 

Liga Super 2014 akan kembali pada bulan Mac nanti.

Selepas memecahkan rekod Lion XII di Stadium Jalan Besar, malam semalam sekali lagi Pahang memecahkan rekod iaitu menewaskan PDRM yang masih belum tewas musim ini. 

Terima kasih kepada penyokong2 yg hadir. Walaupun tak full house, tapi cukup untuk memberi semangat kepada pasukan kita. Dan Alhamdulillah, kita menang di SDM malam tadi. Kali terakhir kita kalah di SDM adalah pada 22 Jun 2013 masa lawan Perak. Moga kita kekalkan rekod ini untuk tempoh yang lebih lama.


Hogoh Pahang Hogoh !
Dari Rodong Untuk Rodong !

Line Up Pahang Vs PDRM
Azhan; Poyeng,Stewart,Rehman ( Jalal ), Ejan; Suren ( Alex ), Azidan,Hafiz, Gopi; Dickson, Kojie ( Conti )

Sunday 16 February 2014

Liga Super 2014: Rebah di tangan Penyu



Terengganu berjaya menumpaskan Juara Piala Malaysia, Pahang sekaligus merampas status pendahulu Liga Super selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Pahang pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Selepas mencatatkan keputusan yang positif 2 3 perlawanan yang lalu, Pahang yang bertandang ke tempat lawan dengan harapan tinggi terpaksa akur dengan aksi baik pasukan tuan rumah

Beraksi di depan 10,000 penyokong fanatik, pasukan tuan rumah bermula garang menerusi pemain import, Marcio Souza dan Pemain Terbaik Kebangsaan 2013, Mohd. Nor Farhan Mohamad sebaik aksi separuh masa pertama bermula.

Begitupun, skuad Penyu memastikan kelebihan menjadi milik skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu apabila memperoleh gol pembukaan menerusi Mario Karlovic pada minit ke-20.

Jaringan itu hadir apabila perancang kelahiran Australia itu berjaya memanfaatkan sepakan percuma yang berjaya mengelirukan penjaga gol muda skuad Tok Gajah, Khairul Azhan.

Bersambung di babak kedua,Ron Smith memperjudikan barisan pertahanan dengan memasukkan Dickson Nwakaeme mengantikan Zesh Rehman untuk memperkasakan barisan serangan.

Namun, usaha Ron tidak berhasil kerana pasukan Terengganu selesa bertahan dengan hanya melakukan “counter attack” pantas.

Pada minit ke-69, Ismail Faruqi mengandakan jaringan pasukan tuan rumah selepas menerima umpanan dari Nor Farhan Mohammad.

Skuad pelawat yang terdesak untuk mencari jaringan, namun terpaksa akur apabila keputusan 0-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ulasan
Dengan corak permainan yang dipamerkan, kita sepatutnya kalah lebih besar. Kekalahan ketiga pasukan Pahang dalam perlawanan liga super dan kekalahan ini semuanya di tempat lawan. Aksi hambar di tempat lawan setakat ini.

Penyokong kena menerima hakikat pemain-pemain Pahang dalam keadaan yang sangat penat ketika ini. Jadual liga dan piala fa terlalu rapat dan pemain tidak mampu konsisten dalam setiap perlawanan.

Penyokong Pahang setia memberi sokongan kepada
pasukan.
Bagaimanapun, satu perhormatan  pada penyokong-penyokong  Pahang yang dilihat memberi sokongan padu untuk pasukan biarpun beraksi di tempat lawan. Teruskan sokongan kerana kita penyokong, pasukan Pahang tidak akan sampai tahap ini sekarang.


Perlawanan seterusnya adalah perlawanan Suku akhir kedua Piala FA menentang PDRM. Kemenangan adalah wajib di Stadium Darul Makmur walaupun pasukan hanya perlu seri untuk layak ke separuh akhir. Semoga segala kesilapan dan kekurangan dapat diatasi . Fokus untuk berjaya ke Semi-Final Piala FA.

Hogoh PAHANG hogoh!!!
Menang tak bermegah, kalah takkan rebah!!!!

Line up Pahang vs Terengganu
Azhan, Poyeng, Stewart, Rehman(Dickson), Ejan; Suren, Azidan(Faizol), Hafiz, Gopi; Conti, Kojie (Malik)

Wednesday 12 February 2014

PIALA FA 2014: Tok Gajah Diikat Robocop

Kesebelasan utama Pahang menentang PDRM
FOTO: IshakAbuJamin / www.asiana.my

Pasukan dari Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hampir mengejutkan pasukan Pahang dalam saingan suku akhir pertama Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Jentera depan PDRM lebih banyak melakukan percubaan ke pintu gol sejak dari awal perlawanan lagi

Biarpun turun selaku pasukan `underdog', skuad bimbingan Dollah Salleh terutama barisan depan yang diterajui Chad Charles Souza dan Bobby Gonzales menunjukkan kemampuan apabila berjaya mencabar benteng lawan.

Selepas beberapa percubaan terutama menerusi Souza tidak menepati sasaran dan diselamatkan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan, akhirnya mereka berjaya memecah kebuntuan apabila Souza menjaringkan gol pertama pada minit ke-13.


Gol itu berpunca daripada sepakan percuma diambil Mohd Sabre Mat Abu yang menyaksikan bola melantun ke kaki Souza dan dia terus merempat deras menewaskan Khairul Azhan.


Jaringan itu meningkatkan lagi semangat pemain PDRM dan mereka terus melakukan serangan demiserangan ke kubu skuad Tok Gajah.

Mereka berpeluang melebarkan jurang namun percubaan solo AShfaq Ali pada minit ke-26, sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Pahang.

Biarpun Pahang cuba bangkit, mereka gagal melepasi pertahanan sehingga tamat aksi separuh masa pertama menyaksikan PDRM mendahului Pahang 1-0.

Pahang dilihat memperkemaskan jentera serangan sebaik aksi bersambung dan kemasukan Dickson Nwakaeme nyata mengubah corak persembahan skuad juara Piala Malaysia itu, namun dua peluang diperolehnya pada minit ke-59 dan 66, tidak menepati sasaran.

Matias Conti sekali lagi muncul penyelamat Pahang apabila jaringan beliau pada minit ke-80 berjaya mengikut pasukan tuan rumah.

Conti meraikan jaringan bersama rakan pasukan
FOTO: IshakAbuJamin / www.asiana.my

Pahang sekali mempunyai peluang menambah jaringan 2 minit selepas itu, namun sepakan percuma  Dickson berjaya diselamatkan penjaga gol PDRM.

Jaringan 1-1 kekal sehingga tiupan wisel penamat.

Ulasan
Kelebihan satu gol ditempat lawan menjadi bekalan tipis Pahang untuk aksi suku akhir kedua di Kuantan nanti.

Mengekalkan barisan pemain yang sama ketika JDT FC tempoh hari, Pahang memulakan perlawanan dengan rentak yang perlahan menyebabkan pasukan lawan mudah menguasai perlawanan.

Kelalaian benteng pertahanan  ketika sepakan percuma menyebabkan lawan memperoleh gol. Aspek ini perlu diperbaiki pada perlawanan akan datang kerana ia sangat merugikan pasukan

Perlawanan suku akhir kedua nanti akan berlangsung pada 18 Februari dan jaringan satu sama ini, kedua-dua pasukan masih memperoleh peluang untuk layak ke separuh akhir. Jadi, diharapkan pasukan akan turun dengan lebih semangat ketika bermain di tempat sendiri nanti.

Hogoh PAHANG hogoh!!!
Dari rodong untuk rodong!!!

Line up Pahang vs PDRM
Azhan; Razman(Shahrizan), Stewart, Rehman(Dickson), SaifulNizam; Suren, Azidan, Hafiz, Gopi; Conti, Fauzi(Malik)


Saturday 8 February 2014

Sejarah berulang di Stadium Darul Makmur!

Dramatik! Fantastik! Itu kata-kata yang dapat diperkatakan tentang perlawanan yang berlangsung malam tadi. Perlawanan "panas" antara pasukan Pahang dan JDT malam tadi berlangsung dengan begitu menarik sekali.

Kesebelasan utama Pahang menentang JDT FC
FOTO: Dunia Sukan
                                            
Pasukan Pahang membuka tirai jaringan seawal minit ke 12 setelah hantaran Conti mudah menewaskan penjaga gol JDT hasil hantaran Hafiz. Mendahului di awal permainan tidak merencatkan serangan Tok Gajah, malah terus menerus menyerang ke arah kubu lawan. Pada minit ke 20 sekali lagi pasukan Pahang mendapat peluang keemasan setelah Gopi melakukan hantaran lintang dan disambar Kojie lalu terkena palang. Tidak lama selepas itu, Gopi melakukan "placing" ke arah gawang gol lawan tetapi ditepis kemas Norazlan Razali. JDT sekali sekala melakukan serangan balas dengan gerakan-gerakan one-two pemain import mereka. Serangan JDT akhirnya berhasil setelah Amri Yahya melakukan "cut-back" lalu disambar Pablo Aimar untuk menyamakan kedudukan di masa tambahan. Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-1.

Conti meraikan jaringan pertama Pahang
FOTO: Dunia Sukan
                                       
Masuk separuh masa kedua, pasukan Pahang bermula garang . Free kick di minit ke 47 dimanfaatkan sepenuhnya setelah Stewart menanduk bola terkena tiang gol lalu pantas disambut Kojie untuk melakukan sepakan deras menewaskan barisan pertahanan JDT. Beberapa pertukaran dilakukan oleh kedua-dua pasukan. Pada minit ke 72, Safee Sali menyamakan kedudukan 2-2 setelah melakukan tandukan padu ke arah pintu gol Pahang juga hasil dari sepakan percuma. Tersentak dengan gol penyamaan, pasukan Pahang dilihat berusaha keras untuk melakukan sesuatu. Pertukaran 2 pemain di separuh masa kedua nampaknya berjaya memberikan impak kepada pasukan. Gol di minit 90+2 diterjemahkan oleh Hafiz Kamal hasil hantaran Azidan  menggamatkan lagi suasana di stadium Darul Makmur. Perlawanan tamat dengan keputusan 3-2. Kemenangan berpihak kepada pasukan Pahang.

Penyelamat pasukan Pahang. Hafiz Kamal menjaringkan
gol di masa kecederaan. FOTO: Dunia Sukan
                                         
Ulasan :

Setelah 4 kali berturut-turut bertandang ke tempat lawan, kemenangan di tempat sendiri semalam sudah pasti menaikkan moral para pemain dan penyokong-penyokong .Mengekalkan kesebelasan utama di Jalan Besar tempoh hari tampak membuahkan hasil. Diperkuatkan lagi pemain-pemain yang baru pulih dari kecederaan seperti Dickson dan Surendran memberikan impak positif kepada pasukan.

Alex yang keluar awal akibat kecederaan diganti oleh Surendran . Surendran melakukan tugas dengan baik setelah melakukan gerakan-gerakan dan hantaran-hantaran bahaya ke dalam kotak penalti. Kemasukan Dickson 15 minit sebelum tamat perlawanan juga dilihat memberi impak positif. Dickson menghadiahkan sepakan percuma yang menghasilkan gol untuk Pahang di minit-minit akhir perlawanan .

Pemain tengah kita iaitu Azidan dan Hafiz dilihat semakin selesa beraksi bersama. Kombinasi yang hebat dan terbaik untuk memacu gerakan pasukan Pahang. Begitu juga di bahagian pertahanan yang bertindak cemerlang mematahkan serangan pihak lawan. Beberapa kesilapan-kesilapan mudah seperti "miss communication" dan sebagainya harus dielakkan selepas ini.  Percaturan Ron Smith dilihat semakin menjadi . Coach mulai kenal pemain-pemain . Diharapkan semoga Pahang terus menerus mencipta kejutan dan kemenangan. Ini yang dimahukan peminat .

Sejarah berulang. Musim lepas kita melakukan "come back" 3-2 di Stadium Darul Makmur.
Musim ini sekali lagi Pahang menang 3-2 ke atas JDT di Stadium Darul Makmur dengan adegan penuh dramatik!


Hogoh Pahang Hogoh !
Dari Rodong Untuk Rodong !

Line up Pahang vs JDT

Azhan, Razman , Stewart, Zesh Rahman, Poyeng, Azzammudin ( Surendran ) , Hafiz, Azidan, Gopi, Conti ( Dickson ), Fauzi ( Faizol )

Sunday 2 February 2014

Piala FA 2014: Kota Singa dilanggar Gajah



Kekecewaan penyokong Pahang dengan dua kekalahan berturut-turut dalam aksi liga super sebelum ini sedikit terubat apabila pasukan Pahang berjaya layak ke suku akhir Piala FA 2014, dengan mengalahkan pasukan Lions XII 1-2 di Stadium Jalan Besar, semalam.

Menentang pasukan Lions XII yang tidak pernah kalah di stadium mereka sejak tahun 2012, rekod itu memberi motivasi tambahan kepada pemain skuad Tok Gajah beraksi baik untuk memburu slot ke suku akhir.

Penyokong tuan rumah patut berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Izwan Mahbud yang berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya dua peluang keemasan Pahang di separuh masa pertama.

Cubaan Fauzi Roslan pada minit ke 18 yang cuba melorong bola melepasi pertahanan lawan, berjaya diselamatkan Izwan Mahbud, dan cubaan susulan Matias juga berjaya diselamatkan oleh penjaga gol lawan tersebut.

12 minit kemudian, giliran Azammuddin pula berpeluang membuka jaringan pertama untuk pasukan Pahang, namun sekali lagi Izwan Mahbud cemerlang menghalang tendangan itu.

Tamat separuh masa, Lions 0-0 Pahang

Pahang beraksi lebih bertenaga pada separuh masa kedua dan tidak menunggu lama untuk mendahului lawan menerusi sepakan percuma cantik Hafiz Kamal  pada minit ke-50.

Tiga minit kemudian, Azidan Sarudin mengandakan jaringan buat skuad Tok Gajah apabila sepakan “first timer” dari luar kotak penalti  berjaya mengelirukan penjaga gol lawan.

Pemain-pemain Pahang meraikan gol Hafiz Kamal
FOTO: Shirly Hamra (FAS)
Safuwan Baharuddin berjaya merapatkan kedudukan buat pasukan tuan rumah melalui sepakan percuma dari jarak 30 meter beliau terkena tiang sebelum terpantul ke kepala Khairul Azhan masuk ke dalam gol.

Gol tersebut sudah lewat untuk Lions XII untuk bangkit apabila Pahang kebal bertahan untuk menempatkan diri ke saingan suku akhir pada bulan Mac nanti.

Ulasan
Kemenangan semalam sungguh bermakna buat pemain-pemain Pahang yang beraksi perlawanan ke-4 di tempat lawan. Keletihan begitu kelihatan kepada majoriti pemain pada perlawanan sudah memasuki minit 70, memaksa Ron Smith membuat beberapa pertukaran.

Sesuatu yang indah juga buat pasukan Pahang yang berjaya memecah rekod Lions yang18 bulan tidak pernah kalah di Stadium Jalan Besar sebelum ini. Ini merupakan kemenangan pertama Pahang di sana.

Pasukan Pahang kembali bermain di Stadium Darul Makmur,
Jumaat depan. FOTO: Shirly Hamra (FAS)
Ron Smith melakukan sedikit pertukaran dalam kesebelasan utama untuk perlawanan ini, dengan Poyeng mengambil tempat Ijan di bek kiri dan Koji bergandingan dengan Conti di hadapan. Percaturan ini menjadi kerana berjaya memberi kestabilan di bahagian tengah pasukan.

5 perlawanan dalam masa 15 hari pasti memenatkan buat pasukan,diharapkan pemain-pemain diberikan rehat secukupnya sebelum aksi seterusnya menentang JDT di Stadium Darul Makmur, Jumaat hadapan.

Hogoh Pahang Hogoh!!
Menang tak bermegah, kalah takkan rebah!!

Line up Pahang vs Lions XII
Azhan; Razman, Stewart, Rehman, Saifulnizam(Shahrizan); Azzamuddin, Hafiz, Azidan, Gopi(Faisal); Matias, Fauzi(Faizol)



Wednesday 29 January 2014

Liga Super 2014: Tumbang sekali lagi



Jaringan tunggal Paulo Rangel menghadiahkan pasukan Pahang kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super 2014.


Dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ semalam, Pahang mampu mendahului lawan seawal minit ke-6, apabila Azzammuddin sudah menjaringkan gol, namun gol itu dibatalkan akibat offside.  Selang beberapa minit selepas itu, Khairul Azhan berjaya menyelamatkan percubaan pemain import lawan, Junior Aparecido dalam keadaan satu lawan satu.


Pahang sekali lagi mencemaskan gawang Selangor menerusi larian deras R. Gopinathan dari sebelah tepi berjaya menewaskan pertahanan Red Giant, tetapi hantaran lintang beliau tidak dapat dapat disudahkan oleh Matias Conti.


Ketumpulan di bahagian depan pasukan Pahang yang mensia-siakan peluang menyebabkan keputusan seri buat separuh masa pertama


Bermula separuh masa kedua, Selangor meningkatkan tahap permainan mereka. Usaha mereka berhasil apabila Rangel tidak membuat kesilapan untuk menanduk masuk hantaran lintang Junior.


Tersentak dengan gol itu, Pahang cuba bangkit dengan melakukan membawa masuk Faizol, Fauzi dan Shafie, namun benteng pertahanan Red Giant gagah bertahan.


Tamat perlawanan, Selangor 1-0 Pahang


Ulasan
Ada peningkatan, namun belum cukup untuk memberi kemenangan. Itu lah kesimpulan yang dapat dibuat dari aksi pasukan Pahang menentang Selangor semalam.


Pahang bermain baik di separuh masa pertama, dengan 3 percubaan yang mampu memberikan gol, tetapi disia-siakan pemain-pemain Pahang. Selangor yang mengesan kekuatan pasukan Pahang, menukar taktik mereka menyebabkan meraka mampu menguasai permainan di separuh masa kedua.

Kekalahan ini semestinya memberi tamparan hebat kepada penyokong mahunpun pemain skaud Tok Gajah. Diharapkan pemain tidak putus semangat untuk memperbaiki kedudukan pasukan Pahang di dalam carta liga. Penyokong juga harus terus memberi sokongan dan semangat kepada pasukan supaya Pahang mampu bangkit di perlawanan yang seterusnya.


Hogoh Pahang Hogoh!


Line up Pahang vs Selangor:
Azhan; Razman, Stewart, Rehman, Shahrizan; Alex (Shafie), Azidan, Poyeng(Fauzi), Hafiz(Faizol), Gopi; Matias



Monday 27 January 2014

Liga Super: Kekalahan pertama



Pahang menerima kekalahan pertama tahun ini selepas ditundukkan pasukan Sime Darby, 1-0 di Stadium Selayang, Sabtu lalu.


Beraksi di tempat lawan, Pahang garang mengasak dari awal untuk memburu gol awal. Gopi berjaya mengelecek masuk ke kotak penalti lawan, sebelum sepakan beliau dihalang pertahanan Sime Darby. 

Pasukan tuan rumah yang masih segar dari kemenangan ke atas ATM FA di dalam saingan Piala FA, mula mendapat rentak selepas itu dengan penyerang import mereka, Mahmood Al-Amna melakukan cubaan dari luar kotak, namun tepat ke dakapan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan.

Pada minit ke-23, Pahang dapat sepakan percuma selepas Azidan dikasari pemain Sime Darby,tetapi sepakan percuma tersebut mudah dipatahkan oleh pertahanan lawan.

Sime darby yang mendapat keyakinan selepas it terus menguji pintu gol Pahang, namun Azhan kebal menangkis asakan-asakan lawan.

Pahang hampir mendahului pada minit ke 40 apabila Azzamuddin melepasi pertahanan di kiri padang sebelum melakukan hantaran lintang kepada Conti tetapi sekali lagi cubaan tersebut tersasar.

Tamat separuh masa, Sime Darby 0-0 Pahang.

Bermula separuh masa kedua, Sime Darby terus menyerang Pahang yang masih terkial-kial untuk menguasai bahagian tengah padang.

Benteng kebal pasukan Tok Gajah akhirnya roboh juga pada minit ke 50, selepas Azhan tidak dapat mengagak tandukan Fahrul Razi dari sebelah kanan.

Pahang cuba bangkit selepas itu, namun terganggu dengan aksi pemain lawan yang banyak bermain provokasi  sehingga perlawanan menjadi tegang. Beberapa orang pemain tidak dapat mengawal emosi dan banyak insiden pergaduhan kecil berlaku antara pemain kedua-dua pasukan.

Sime Darby yang mula mengendurkan asakan dan berkampung di kawasan sendiri selepas mendahului menyebabkan pasukan Pahang sukar mencari gol penyamaan.

Tamat perlawanan, Sime Darby 1-0 Pahang.

Ulasan
Kesan beraksi 120 minit di Ipoh, pasukan Pahang sekali tidak mampu mempamerkan permainan sebenar mereka di perlawanan ke 2 liga super tahun ini.

Pasukan lawan menggunakan sepenuhnya kelebihan mereka ada untuk menguasai perlawanan.Sime Darby begitu selesa bermain di home mereka, manakala Pahang bergelut dengan kepenatan dan tekanan turun sebagai pasukan juara Piala Malaysia.

Kelemahan paling ketara pasukan Tok Gajah adalah di bahagian tengah yang tidak berfungsi dengan baik. Ron Smith cuba mengandingkan Poyeng dengan Azidan, namun tidak menjadi. Aksi Gopi di sayap kanan juga kurang berkesan.

Taktikal pasukan lawan yang lebih suka bertahan lebih menyukarkan pasukan Pahang. Matias Conti  tidak mampu bergerak bebas setelah dirantai pemain import pertahanan lawan. Aksi pemain serangan sangat terhad dan beberapa sepakan sudut dan sepakan percuma juga banyak di sia-siakan.

Diharapkan, di perlawanan yang seterusnya bertemu Selangor, staff kejurulatihan Pahang dapat menyenaraikan pemain terbaik di kesebelasan utama.  Setiap pemain juga perlu meningkatkan tahap permainan mereka supaya pasukan mampu bangkit di perlawanan ini.

Hogoh Pahang Hogoh

Line up Pahang vs Sime Darby
Azhan; Razman, Stewart, Rehman, Shahrizan; Gopi(Koji), Azidan, Saiful Nizam(Faizol), Faisal(Malik); Alex, Conti


Thursday 23 January 2014

Piala FA 2014: Tok Gajah berpeluh


Perak hampir mengejutkan Juara Piala Malaysia 2013,Pahang dalam aksi pusingan pertama Piala FA sebelum layak dengan kemenangan sepakan penalti 5-4 di Stadium Perak semalam.

Pahang memimpin perlawanan pada minit ke-8, apabila Azzammuddin menanduk masuk bola hantaran Stewart, hasil sepakan sudut Azidan Sarudin.

Namun, Perak kembali menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian melalui rembatan padu Hardi Jaafar dari luar kotak penalti.

Perak terus bersemangat selepas gol penyamaan itu, terus menyerang kubu pertahanan Pahang dan pada minit ke-45, pemain import Perak, Kyaw Zayar Win meledak gol kedua pasukan The Bos Gaurus.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Pahang kembali mempamerkan aksi sebenar dan usaha mereka mencari gol penyamaan berhasil apabila tonggak pertahanan, Damion Stewart menanduk masuk sepakan sudut Hafiz Kamal.

Stewart menjaringkan gol penyamaan Pahang
FOTO: Syahrul Azhar Rahim | DS
Selepas itu, kedua-dua pasukan buntu mencari gol kemenangan sehingga perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti.

Khairul Azhan menyelamatkan dua sepakan penalty Perak sebelum Saiful Nizam Miswan memastikan Pahang mara apabila menyempurnakan sepakan penalti ketujuh bagi menempah pertemuan dengan Lions XII di pusingan kedua.

Ulasan
Longlai. Itu lah kesimpulan buat aksi separuh masa pertama pasukan Pahang. Selepas gol awal dari Alex, pemain Pahang agak leka sedangkan pemain Perak pula bersemangat. Sikap cepat berpuas hati ketika mendahalui lawan harus dibuang dari setiap pemain.

Dari segi persembahan individu, ada beberapa pemain beraksi di bawah tahap yang sebenar. Kesilapan seperti hantaran tidak tepat, “off position” ketika bertahan, kegopohan ketika menyerang adalah kelemahan yang ketara dalam perlawanan ini. Pemain-pemain ini sebenarnya boleh beraksi lebih baik dari apa yang dipamerkan di Ipoh.

Yan berjaya menyelamatkan 2 penalti Perak
FOTO: Syahrul Azhar Rahim | DS
Dengan jadual liga padat, diharapkan pemain-pemain akan sentiasa cergas dan dijauhi dari kecederaan. 4 perlawanan dalam masa 15 hari memang memeritkan buat mana-mana pasukan. Semua pemain, tidak kira pemain utama mahupun simpanan perlu bersedia diturunkan dalam setiap perlawanan. Semoga pasukan Pahang akan lebih baik untuk perlawanan akan-akan datang.

Line up Pahang vs Perak
Azhan; Razman, Stewart, Rehman, Shahrizan; Malik (Fauzi), Hafiz (Saiful Nizam), Azidan(Faizol), Gopi; Conti, Azammuddin

Penjaring gol: Azzammuddin, Stewart


#Hogoh Pahang Hogoh

Sunday 19 January 2014

Pahang juara Piala Sumbangsih 2014



Matias Ruben Conti sekali lagi menjadi menjadi hero Pahang apabila jaringan tunggal beliau membantu skuad Tok Gajah muncul Pemenang Piala Sumbangsih 2014, menewaskan pasukan Lions XII 1-0 di Stadium Darul Makmur, semalam.

Conti yang menyambut ulang tahun yang ke-24 semalam menjaringkan gol pada minit 57, selepas menyambar bola muntah hasil cubaan Malik Mat Ariff sebelum itu. Gol tersebut sudah cukup untuk menjulang skuad kendalian Ron Smith Piala Sumbangsih yang kali terakhir menjuarainya pada tahun 1993.

Disaksikan lebih 35,000 penyokong, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan tempo yang agak berhati-hati dan gagal menjaringkan gol di separuh masa pertama.

Pahang melakukan serangan awal menerusi Alex yang melakukan percubaan ke arah pintu gol Lions XII, namun dapat diselamatkan oleh Izwan Mahbud.

Gopi cuba melepasi pertahanan Lions XII.
FOTO: Khairul Azrin | DS
Penyokong agak sedikit rasa kecewa apabila bekas tonggak import Kelantan, Dickson Nwakaeme terpaksa dikeluarkan ketika perlawanan baru berlangsung 15 minit kerana masalah kecederaan dan digantikan oleh Matias Conti.

Conti tidak menunggu lama untuk memberi impak dalam perlawanan apabila beliau melakukan sepakan gunting di depan gawang lawan, namun tidak menepati sasaran.

Walaupun Pahang menguasai perlawanan, Lions XII masih mampu melakukan serangan ke arah kubu pasukan Pahang. Khairul Amri hampir meletakkan pasukan pelawat di hadapan apabila larian solo beliau dari tengah padang berjaya menyelinap masuk ke kawasan kotak penalti Pahang, namun dapat diselamatkan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan.
Tamat separuh masa, Pahang 0-0 Lions XII.

Bermula separuh masa kedua, Pahang melakukan sedikit pertukaran taktikal dengan Malik Mat Ariff lebih banyak terlibat dengan gerakan serangan.

Hasilnya, melalui gerakan satu-dua dengan Azidan Sarudin, Malik meloloskan diri ke dalam kotak penalti lawan, namun percubaan awal beliau berjaya diselamatkan sebelum bola muntah ke kaki Conti untuk meletakkan bola ke dalam gol Lions XII.

Malik Ariff diberi peluang bermain kesebelasan utam mengantikan
R.Surenderen yang mengalamikan kecederaan. FOTO: Khairul Azrin
Pahang berpeluang menambah jaringan selepas itu, namun banyak percubaan dapat dipatahkan oleh benteng pertahanan Lions XII.

Jaringan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Pahang juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2014.

Ulasan
Permulaan yang baik dari juara Piala Malaysia. Majoriti pemain Pahang masih dahagakan kejayaan, sama dengan tahun lepas.

Dari segi rentak permainan, Pahang 2014 agak berbeza dengan Pahang 2013. Walaupun pemain yang sama, corak permainan Pahang lebih variasi hasil sentuhan jurulatih baru, Ronald Smith. Pemain perlu cepat mengadaptasi dengan taktikal beliau supaya perlawanan lebih menarik dan menghiburkan.

Zesh Rehman,pemain kelahiran Pakistan yang dibawa masuk oleh Pahang berjaya membuktikan reputasi beliau sebagai pemain import yang berkaliber. Jika sebelum ini skuad Tok Gajah sentiasa mengharapkan Damion Stewart, kehadiran Zesh berjaya mengurangkan bebanan Damion di barisan pertahanan. Namun, gandingan Zesh-Damion ada masih ruang untuk dikemaskan.

Dickson pula nyata menjadi senjata sulit bagi pasukan Pahang. Walaupun hanya beraksi 15 minit, beliau nampak sudah ada keserasian dengan pemain-pemain lain. Kecederaan beliau memberi ruang kepada Matias Conti sekali lagi menjadi hero Tok Gajah.

Hero Pahang, Matias Conti menjulang piala bersama Alex
FOTO: Khairul Azrin | DS
Kejuaraan pertama ini memberi tonik tambahan pemain beraksi lebih baik dalam saingan liga super tahun ini. 3 mata dari perlawanan yang dikira juga perlawanan liga super ini cukup baik untuk menduduki kedudukan yang lebih baik dari kedudukan ke-5 dalam saingan tahun lepas.

Line up Pahang vs Lions XII
Khairul Azhan; Razman(Jalal), Stewart, Rehman, Shahrizan; Malik(Faizol), Hafiz, Azidan, Gopi; Azzammuddin, Dickson(Conti)

Hogoh Pahang Hogoh!
Menang tak bermegah, kalah takkan rebah!






Tuesday 14 January 2014

Piala Sumbangsih 2014: Pahang sudah bersedia


Selaku perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2014, Piala Sumbangsih atau juga dikenali Piala Sultan Ahmad Shah tahun ini menemukan pasukan juara Piala Malaysia 2013, Pahang dengan pasukan juara Liga Super 2013, Lions XII.

Perlawanan ini sepatutnya dimainkan di padang berkecuali, terpaksa ditukar ke Stadium Darul Makmur, selepas venue asal (Stadium Shah Alam) ditutup untuk proses baik pulih kemudahan stadium.

Berbanding tahun lepas, Piala Sumbangsih 2014 akan dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super dan pemenang akan meraih tiga mata.

Untuk rekod, Pahang pernah memenangi 2 kali piala ini(1992,1993) dan 4 kali bergelar naib juara(1985, 1988, 1995, 2007).

Persediaan

Persiapan pasukan Pahang tahun ini agak padat sebenarnya. Dengan waktu rehat yang terhad, pemain-pemain juga terikat dengan jadual sambutan Piala Malaysia di daerah-daerah selain agak terganggu dengan cuaca yang tidak menentu di bandar Kuantan.

Tujuh perlawanan persahabatan telah dilalui pasukan Pahang sebelum bermulanya Liga Malaysia jumaat ini. Tiga kemenangan, 1 seri dan 3 kekalahan bukanlah satu keputusan yang dikehendaki bagi peminat, namun perlawanan persahabatan adalah medan untuk menguji pemain di sesuatu posisi selain membentuk keserasian pemain baru dan lama.

Dickson Nwakaeme akan menjadi tunggak utama
di barisan depan
Mengekalkan 95% pemain tahun lepas, Pahang hanya membawa masuk tiga muka baru, iaitu Zeshan Rehman dari Kitchee FC, Dickson Nwakame dari Kelantan dan penjaga gol muda dari skuad Piala Presiden Pahang, Muhammad Saufi. Manakala pemain yang keluar adalah Hazuan Daud(PDRM FC), Rosfaizul (Kuantan FA), dan Amirulhadi(JDT I).

Peluang 

Seperti dilaungkan kepten pasukan, Jalaluddin Jaafar, pemain mahupun peminat, semesti tidak mahu Piala Sultan Ahmad Shah terlepas ke seberang tambak seperti mana trofi Liga Super tahun lalu.

Beliau meletakkan harapan untuk memenangi Piala itu supaya kekal di negara ini pada pertemuan jumaat ini. Lions XII juga semestinya akan memberi cabaran yang sengit memandangkan mereka adalah pasukan yang kuat terutama dalam saingan Liga Super. 

Pengendali baru Pahang, Ron Smith meneruskan
legasi yang ditinggalkan Dollah Salleh.
Apa yang lebih penting ketika ini adalah fokus kepada perlawanan jumaat ini. Berbaki 3 hari sebelum sepak mula, pemain tidak perlu dibuai dengan kemanisan kejayaan tahun lalu. Fokus dan usaha keras sangat perlu ketika ini.

Jika keazaman dan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan pasukan pada tahun lepas dikekalkan pada tahun ini, tidak mustahil Pahang akan menjulang Piala Sumbangsih ini buat kali ketiga dalam sejarah bola sepak Pahang. 

Hogoh Pahang Hogoh!!!