Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Sunday 20 October 2013

Piala Malaysia 2013: Peluang makin cerah


Impian menamatkan kemarau penantian 16 tahun untuk beraksi di pentas akhir Piala Malaysia semakin hampir menjadi kenyataan buat Pahang yang membawa bekalan dua gol berharga untuk menumbangkan Sarawak 3-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, semalam.

Azamuddin Akil, menjaringkan dua gol pada minit ke-28 dan 32 dengan satu lagi gol dicipta Matias Conti pada minit ke-37 bagi meletakkan Pahang sebagai salah satu calon utama yang akan bersaing di perlawanan akhir, 3 November depan.

Sarawak bagaimanapun masih mampu mencuri satu jaringan di tempat lawan melalui ketua pasukan Mohd. Shahrol Saperi pada minit ke-39 bagi memastikan skuad Bujang Senang masih berpeluang mengatasi defisit dua gol di Stadium Negeri, Kuching, 26 Oktober ini.

Kelincahan serta kepantasan gandingan dua gandingan `R di bahagian sayap iaitu, R. Surendran dan R. Gopinathan bagaikan duri dalam daging buat pertahanan Sarawak apabila mereka berdua sering kali berjaya meloloskan diri di dalam kotak penalti.

Sebaik saja perlawanan bermula, Pahang yang beraksi di hadapan kira-kira 33,000 penyokong sendiri ternyata mendapat tonik dan semangat luar biasa apabila melancarkan serangan bertali arus.

Aksi Alex selepas menjaringkan gol pertama Pahang
Foto: Khairul Azrin | Dunia Sukan

Skuad Tok Gajah membuka jaringan pada minit ke-28 apabila pergerakan Gopinathan melepaskan percubaan dari jarak tepi mengenai palang sebelum ditanduk masuk oleh Azamuddin atau lebih popular dengan nama jolokan, Alex.

Tidak pun sampai lima minit permainan selepas jaringan tersebut, ketua pasukan Pahang, Jalaluddin Jaafar melakukan satu hantaran lintang yang menarik di sebelah kanan yang kemudiannya disudahkan dengan sempurna menerusi tandukan cantik oleh Alex bagi menggandakan kelebihan buat Tok Gajah.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Bujang Senang cuba mempertingkatkan serangan, namun kealpaan benteng pertahanan dan penjaga golnya, Sani Anuar Kamsani yang keluar daripada kawasan kotak penalti membuka ruang kepada Conti yang mengambil kesempatan menjaringkan gol ketiga skuad Tok Gajah menerusi sepakan lambung pada minit ke-37.

Matias meraikan jaringan beliau semalam.
Foto: Khairul Azrin | DS Pahang

Tidak berputus asa, Sarawak yang meneruskan serangan ke gawang lawan berjaya menjaringkan gol bagi menjadikan kedudukan 1-3 pada minit ke-39 selepas sepakan Shahrol terbias mengenai Shahrizan Salleh sebelum menewaskan penjaga gol skuad Tok Gajah, Mohd. Khairul Azhan yang terkeliru.

Bermula separuh masa kedua, permainan sedikit perlahan, namun kedua-dua pasukan tetap saling serang menyerang ke kubu lawan masing-masing bagi menambah jaringan.

Asakan bertubi kali ke gawang lawan dilakukan oleh kedua-dua pasukan namun gagal menambah jaringan dan sehingga wisel penamat, kedudukan kekal dengan Pahang berjaya menewaskan Sarawak 3-1.

Masa penuh, Pahang 3-1 Sarawak

Ucapan khas Yan kepada penyokong Pahang.
Foto: Khairul Azrin | Dunia Sukan
Rumusan
Terima kasih seluruh pasukan Pahang kerana menampilkan permainan yang bertenaga semalam. Walaupun di atas kertas kedua-dua pasukan nampak seimbang, namun aksi Pahang semalam membuktikan mengapa kita layak sampai ke tahap ini.

Masih ada 90 minit lagi bagi kedua-dua pasukan bertarung di Kuching. Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Kita tidak mahu pemain atau peminat terbuai-buai dengan mimpi indah di sebalik kemenangan ini.

Pahang tidak boleh terlalu relaks dan perlu lebih fokus untuk aksi timbal balas nanti. Senang cakap, Pahang kena anggap keputusan agregat semasa masih 0-0 dan perlu bermain mati-matian di tempat lawan.

Pahang perlu memperkemas lagi jentera bahagian tengah pasukan bagi menyempurnakan kemenangan ke atas Sarawak pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Negeri Petrajaya, Kuching Sabtu depan. Menyedari bermain di stadium keramat lawan, barisan tengah perlu lebih dominan bagi mengelak barisan pertahanan diasak ketika bermain di sana nanti.

Hanya ucapan “Terima Kasih” sahaja yang mampu admin ucapkan pada seluruh warga PAHANG , Aokmer membuktikan yang kita mampu memenuhi stadium dan kita mampu membakar semangat para pemain. Perpaduan dan sokongan yang tak berbelah bagi macam semalam perlu diterus sampai bila-bila.

#FinalIdamanKami
#Misi92
#BringBackTheGlory
#HogohTokgajohHogoh

Line up Pahang vs Sarawak:
Azhan; Jalal(Poyeng), Stewart, Razman, Shahrizan; Suren(Amirulhadi), Hafiz, Azidan(Faizol), Gopi; Azzamudin, Conti.