Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Saturday 5 October 2013

Piala Malaysia 2013: Separuh akhir selepas 9 tahun


Pasukan Pahang berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia setelah membenam cabaran PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kali terakhir Pahang layak ke separuh akhir adalah sembilan tahun yang lalu ketika zaman Pahang di gelar Real Madrid Malaysia. Pada tahun 2004 itu,Pahang tumpas di tangan Perlis dengan agregate 3-2.

Turun dengan berkelebihan satu gol dari Darul Makmur, Pahang bermula garang dengan membuka jaringan hasil penalti Matias Conti pada minit ke 28 selepas beliau dikasari Ahmad Azlan Zainal dalam kotak penalti.

Pemain PKNS nampak tertekan selepas jaringan itu, cuba merapatkan jurang melalui percubaan Nazmi Faiz pada minit ke 38, namun berjaya diselamatkan Khairul Azhan.

PKNS berpeluang memperoleh sepakan penalti selepas itu apabila bola seakan-akan terkena tangan Razman Roslan ketika bersaing dengan pemain import, Patrick Ronaldinho. Namun pengadil tidak mengendahkan permintaan pemain tuan rumah.

Tamat separuh masa, Pahang 1-0 PKNS

Bermula separuh masa kedua, PKNS meningkat asakan ke kubu pertahanan Pahang. Pada minit 57, Patrick Ronaldinho mendapat peluang menjaringkan gol tetapi sepakan beliau tinggi melepasi palang.

Peluang Pahang ke separuh akhir semakin cerah apabila Azamuddin Akil menjaringkan gol kedua pasukan Pahang pada minit 60. Salah paham di antara pertahanan dan penjaga gol PKNS membolehkan Alex menanduk masuk sepakan jauh Khairul Azhan.

Tenang. Alex meraikan jaringan gol kedua Pahang
FOTO: FADZLIE AHMAD | DS

Semangat juang PKNS tidak luntur akibat gol itu dan hasilnya mereka berjaya merapatkan jurang lapan minit kemudian. Khairul Azrin melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti dan tidak dapat diselamatkan oleh penjaga gol Pahang, Khairul Azhan.

Gol tersebut memberi tonik kepada anak buah Hj. Abdul Rahman Ibrahim untuk memburu gol seterusnya, namun benteng pertahanan Pahang yang diketuai Damion Stewart dan Razman utuh menahan asakan bertali arus pasukan tuan rumah.

Tamat perlawanan, Pahang 2-1 PKNS. Pahang mara ke suku akhir dengan keputusan agregat 5-3.

Pemain Pahang bersorak bersama penyokong-penyokong meraikan
kejayaan ke separuh akhir
FOTO: FADZLIE AHMAD | DS


RUMUSAN

Tiada dapat digambarkan betapa gembira penyokong-penyokong Pahang dengan kejayaan Pahang layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2013. Jutaan tahniah kepada pemain-pemain, jurulatih, dan juga pengurusan atas kejayaan ini. Selepas layak ke separuh akhir Piala Malaysia, kali ini layak separuh akhir Piala Malaysia pula.

“Saya janji akan bawa Pahang ke final tahun ini”. Itu janji pemain terbaik dalam perlawanan ini,Azamuddin Akil@Alex.

Tetapi, perjuangan kita bukan hanya ke separuh akhir. Kita mahukan pasukan menjulang Piala Malaysia. Misi yang tidak mustahil untuk direalisasikan. Dengan kerja keras dan sokongan semua pihak, 2013 adalah tahun pasukan Tok Gajah.

Lawan Pahang di separuh akhir nanti adalah di antara Sime Darby atau Sarawak. Satu cabaran getir akan dihadapi Pahang kerana kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri. Perlawanan separuh akhir akan berlangsung pada 18 Oktober 2013 di Stadium Darul Makmur dan 28 Oktober di tempat lawan.

Akhir sekali, TGF ingin mengucapkan ucapan juga jutaan terima kasih penyokong Pahang kerana anda semua telah mengamatkan Stadium Shah Alam. Kerana anda juga pemain Pahang bersemangat hingga wisel penamat. Terima kasih semua, kita jumpa di separuh akhir nanti.

Misi 2013: Kita raih juara Piala Malaysia!!!
Hogoh Pahang Hogoh!!!

Line up Pahang vs PKNS: 
K.Azhan; Jalal(Poyeng),Razman,Stewart, Shahrizan;Suren,Hafiz(Azidan), Amirulhadi,Gopi; Alex,Conti(Zaiza)