Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Sunday 15 February 2015

Tok Gajah dirantai Red Giant | Liga Super 2015

Harapan Pahang untuk mengutip 3 mata penuh ke atas lawan tradisi, Selangor, masih belum tercapai apabila hanya mampu seri 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur semalam, sungguh pun pada satu ketika mendahului pada pertemuan penuh dramatik itu.

Perlawanan pada awalnya agak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mencipta beberapa peluang keemasan untuk membuka jaringan.

Peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-11 permainan apabila kelincahan dan kawalan bola yang baik dari pemain sayap kanan Andik Vermansah berjaya membuka ruang kepada Guilherme De Paula di dalam kotak penalti namun gagal disempurnakan.

Pahang dilihat semakin menguasai permainan selepas itu dengan barisan penyerang mereka berjaya memecah benteng pertahanan lawan menerusi larian pemain sayap kiri, R. Gopinathan dan corak permainan fizikal Dickson Nwakaeme.

Pertahanan Selangor cuba menghalang sepakan Gopi.
FOTO -  Dunia Sukan
Gerakan yang dimulakan Nwakaeme pada minit ke-19 berjaya memberi ruang kepada Gopinathan untuk melakukan lorongan cantik dari sebelah kiri melintasi gawang Selangor namun gagal disambar Matias Conti dan R. Surendran.

Selepas gagal memecah kebuntuan jaringan, jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan membuat membuat pertukaran pemain selepas rehat dengan memasukkan Norazam Abdul Azih menggantikan Surendren yang kurang berkesan.

Gol pembukaan yang dinantikan lebih 28,000 penyokong Pahang yang memenuhi stadium akhirnya muncul pada minit ke-59 hasil jaringan Conti.

Penyerang dari Argentina itu, yang dilihat kurang menyerlah pada separuh masa pertama, mudah menyempurnakan tolakan Azidan Sarudin yang sebelumnya menerima bola daripada Dickson dalam kotak penalti.

Kegembiraan tersebut bagaimanapun tidak kekal lama apabila pemain sayap Selangor, Andik, melakukan gerakan solo dari sebelah kanan untuk melepasi kawalan tiga pertahanan tuan rumah sebelum merembat masuk gol penyamaan pada minit ke-65.

Pada minit-minit akhir perlawanan, Pahang terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Hafiz Kamal dibuang padang setelah menerima kad kuning kedua.

Hafiz Kamal diarahkan keluar padang selepas menerima
kad kuning kedua. FOTO - Dunia Sukan

Bagaimanapun, masa terlalu suntuk buat Selangor untuk mengambil kesempatan ke atas kepincangan Pahang itu, sungguhpun pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed memberikan tiga minit masa tambahan.

Ulasan

Secara keseluruhan, permainan Pahang ada peningkatan berbanding ketika perlawanan Piala Sumbangsih tempoh hari. Namun, masih jauh dari prestasi sebenar pasukan. Banyak peluang di depan gol tidak dapat disempurnakan. Set piece sepakan sudut dan sepakan percuma juga banyak disia-siakan. Menjadi kerugian jika deretan sepakan sudut diperoleh, tiada satu pun mampu mengugat pintu gol lawan.

Disebabkan ada beberapa pemain regular yang masih tercari-cari rentak perlawanan, coach Zainal patut memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan sesuatu. Contohnya, pemain muda Nurazam Aziz ada kemampuan menyumbang sesuatu kepada pasukan apabila dimasukkan.  Beliau ada visi yang baik sebagai seorang midfielder.

Penampilan pertama Nurazam Aziz bersama pasukan
Pahang di Stadium Darul Makmur. FOTO - Dunia Sukan


Perlawanan Pahang seterusnya adalah menentang Sarawak di tempat lawan pada 21hb

Hogoh Pahang Hogoh!!!

Dari rodong untuk rodong!!!

Line up Pahang vs Selangor:
Yan; Razman, Stewart, Zesh, Ejan; Suren(Azam), Azidan, Hafiz, Gopi(Kojie), Conti, Dickson.