Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Tuesday 14 January 2014

Piala Sumbangsih 2014: Pahang sudah bersedia


Selaku perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2014, Piala Sumbangsih atau juga dikenali Piala Sultan Ahmad Shah tahun ini menemukan pasukan juara Piala Malaysia 2013, Pahang dengan pasukan juara Liga Super 2013, Lions XII.

Perlawanan ini sepatutnya dimainkan di padang berkecuali, terpaksa ditukar ke Stadium Darul Makmur, selepas venue asal (Stadium Shah Alam) ditutup untuk proses baik pulih kemudahan stadium.

Berbanding tahun lepas, Piala Sumbangsih 2014 akan dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super dan pemenang akan meraih tiga mata.

Untuk rekod, Pahang pernah memenangi 2 kali piala ini(1992,1993) dan 4 kali bergelar naib juara(1985, 1988, 1995, 2007).

Persediaan

Persiapan pasukan Pahang tahun ini agak padat sebenarnya. Dengan waktu rehat yang terhad, pemain-pemain juga terikat dengan jadual sambutan Piala Malaysia di daerah-daerah selain agak terganggu dengan cuaca yang tidak menentu di bandar Kuantan.

Tujuh perlawanan persahabatan telah dilalui pasukan Pahang sebelum bermulanya Liga Malaysia jumaat ini. Tiga kemenangan, 1 seri dan 3 kekalahan bukanlah satu keputusan yang dikehendaki bagi peminat, namun perlawanan persahabatan adalah medan untuk menguji pemain di sesuatu posisi selain membentuk keserasian pemain baru dan lama.

Dickson Nwakaeme akan menjadi tunggak utama
di barisan depan
Mengekalkan 95% pemain tahun lepas, Pahang hanya membawa masuk tiga muka baru, iaitu Zeshan Rehman dari Kitchee FC, Dickson Nwakame dari Kelantan dan penjaga gol muda dari skuad Piala Presiden Pahang, Muhammad Saufi. Manakala pemain yang keluar adalah Hazuan Daud(PDRM FC), Rosfaizul (Kuantan FA), dan Amirulhadi(JDT I).

Peluang 

Seperti dilaungkan kepten pasukan, Jalaluddin Jaafar, pemain mahupun peminat, semesti tidak mahu Piala Sultan Ahmad Shah terlepas ke seberang tambak seperti mana trofi Liga Super tahun lalu.

Beliau meletakkan harapan untuk memenangi Piala itu supaya kekal di negara ini pada pertemuan jumaat ini. Lions XII juga semestinya akan memberi cabaran yang sengit memandangkan mereka adalah pasukan yang kuat terutama dalam saingan Liga Super. 

Pengendali baru Pahang, Ron Smith meneruskan
legasi yang ditinggalkan Dollah Salleh.
Apa yang lebih penting ketika ini adalah fokus kepada perlawanan jumaat ini. Berbaki 3 hari sebelum sepak mula, pemain tidak perlu dibuai dengan kemanisan kejayaan tahun lalu. Fokus dan usaha keras sangat perlu ketika ini.

Jika keazaman dan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan pasukan pada tahun lepas dikekalkan pada tahun ini, tidak mustahil Pahang akan menjulang Piala Sumbangsih ini buat kali ketiga dalam sejarah bola sepak Pahang. 

Hogoh Pahang Hogoh!!!