Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Wednesday 8 May 2013

Liga Super 2013 [Pahang 2 - 2 Selangor]



Suren membuktikan kehadirannya dalam kesebelasan utama Pahang memberi impak besar apabila membantu Pahang mengutip satu mata penting apabila seri 2-2 ketika bertemu Selangor di Stadium Darulmakmur malam tadi. 

Keputusan itu sudah cukup melegakan skuad kendalian Dollah Salleh itu daripada terlepas mata kepada Selangor yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim. 

Namun, pada perlawanan itu, Selangor tidak menunggu lama untuk mendahului tuan rumah apabila kesilapan penjaga gol Pahang, Rosfaizul yang gagal menangkap kemas bola membolehkan Francis Forkey Doe membolosi seawal minit ketiga. 

Empat minit kemudian, Forkey Doe mempunyai peluang untuk menambah jaringan tetapi sepakan penyerang import Selangor itu melepasi palang tuan rumah. 

Peluang terbaik Pahang hadir pada minit ke-16 menerusi R Gopinathan dari luar kotak penalti, namun bola tendangan pemain tengah itu sedikit tersasar di sebelah kanan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali. 

Selepas itu, skuad kendalian Dollah Salleh lebih banyak menguasai perlawanan berbanding lawan dengan deretan peluang dimiliki Pahang termasuk daripada pemain pertahanan, Damion Stewart tetapi gagal menembusi gawang. 

Akhirnya, minit ke-39, gol penyamaan yang dinantikan Pahang berhasil menerusi Surendran selepas menerima hantaran daripada Shahrizan Salleh di dalam kotak penalti.

Hantaran lintang Shahrizan berjaya disempurnakan Surendren

Bersambung babak kedua, Forkey Doe hampir menjaringkan gol kedua peribadi apabila tandukannya sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol tuan rumah pada minit ke-49. 

Begitu juga tandukan pertahanan Selangor, Adam Grif fiths pada minit ke-53 yang sedikit melepasi palang tuan rumah ketika Rosfaizul Azuar sudah pun tertewas. 

Pada minit ke-71, Forkey Doe meletakkan pasukannya mendahului 2-1 apabila rembatan dari luar kotak penalti terus menerjah gawang Pahang menewaskan Rosfaizul buat kali kedua. 

Minit-minit akhir perlawanan, Surendran muncul penyelamat buat tuan rumah. Hasil satu gerakan dari kiri padang, Faizol yang baru masuk, melakukan satu hantaran lintang rendah ke depan pintu gol, dan Suren yang tidak dikawal pada waktu itu mudah menolak bola ke pintu gol untuk gol kedua Pahang.

Azidan, Razman meraikan jaringan gol Surendran

Rumusan 


Secara keseluruhannya, seluruh penyokong Pahang malam tadi berpuas hati dengan persembahan setiap pemain Pahang. Stadium Darul Makmur tidak pernah gagal menghasilkan perlawanan bermutu tinggi dengan aksi berbalas serangan dari kedua-dua pasukan. Walaupun Rosfaizul melakukan kesilapan mudah di awal-awal perlawanan, tetapi semangat pemain-pemain Pahang tidak luntur dan terus menyerang mencari gol penyamaan. Jika pemain-pemain hadapan Pahang bijak menyempurnakan peluang terhidang, pasti gergasi merah akan pulang hampa ke Shah Alam.



Surendren Ravindren

Man of the match dalam perlawanan ini ialah tidak lain tidak bukan, Surendren. Tidak dapat dinafikan Surendren memperagakan satu corak permainan yang begitu komited, baik dari segi menyerang mahupun bertahan. Jelas beliau memang layak bergelar wira kepada pasukan Pahang dengan dua jaringan beliau berjaya mengekang dari pasukan Pahang mengalami kekalahan. Pada perlawanan pertama Liga Super Januari lalu, beliau telah menjaringkan gol ketiga pasukan Pahang semasa bertemu JDT dan semalam beliau sekali lagi menjadi penyelamat dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 90. Ini bermakna beliau sudah 2 kali menyelamatkan pasukan bersama-sama rakan-rakan yang lain.


Line up Pahang vs Selangor
Rosfaizul; Saiful Nizam, Stewart, Razman, Shahrizan; Surendran, Azidan(Faizol), Amirulhadi(Hafiz), Gopinathan, Azamuddin , Fauzi(Malik).