Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Thursday, 18 April 2013

Preview Liga Super : Johor Darul Takzim vs Pahang

Sudah semestinya kedua-dua pasukan masih segar dengan kejayaan ke separuh akhir Piala FA, dan momentum kejayaan ini mesti mahu mereka bawa ke dalam perlawanan liga. 

Sebelum pertembungan mereka dalam Piala FA separuh akhir, kedua-dua pasukan akan beradu kekuatan dalam perlawanan kedua pusingan kedua Liga Super, di mana JDT akan menjadi tuan rumah pula kepada Pahang. 

Berdasarkan prestasi semasa Pahang, skuad Tokgajah nampak lebih bersedia untuk pertembungan kali ini. Dalam 5 perlawanan terakhir, Pahang menang 3 perlawanan berturut-turut dan rentak ini hendaklah dikekalkan. Kemenangan di Darul Makmur semasa perlawanan pembukaan liga super dahulu masih segar di ingatan penyokong-penyokong,semestinya peminat mengharapkan pemain-pemain Pahang mengekalkan semangat tidak kenal kalah yang pernah ditunjukkan sebelum ini. Ketinggalan 0-2 di separuh masa sebelum bangkit untuk menang 3-2 ke atas pasukan dipenuhi bintang akan tetap dikenang sebagai “epic match” dalam lipatan sejarah bola sepak Pahang. 

Dollah Salleh pula sudah tentu menarik nafas lega. Jika sebelum ini Dollah hanya meletakkan kepercayaan kepada Azamuddin Akil dan Fauzi Roslan di bahagian serangan setelah Borji dan Nico tidak membantu pasukan, kehadiran Matias Conti di semestinya akan melancarkan lagi perancangan beliau. Conti beraksi baik di perlawanan pertama beliau,dan diharapkan persembahan sama dapat diulang di Larkin. Khairul Azhan sekali lagi akan mengalas peranan sebagai penjaga gol utama dengan Rosfaizul dan Nasril masih belum pulih dari kecederaan. R Gopinathan juga akan kembali ke kesebelasan utama setelah digantung perlawanan ketika Pahang menewaskan Sime Darby tempoh hari. Pahang akan memintas ke tangga ke-3 jika berjaya membawa 3 mata penuh ke Kuantan. 

Berbalik kepada JDT,Harimau Selatan dalam prestasi yang baik selepas menang dalam dua perlawanan terakhir, kemenangan 1-0 di Terengganu diikuti dengan “come back” menang untuk menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam. JDT akan bergantung kepada pemain import baru mereka, Leonel Nunez, yang menjaringkan dua gol di Shah Alam. Walaupun Nunez sedikit overweight(boroi), tetapi memiliki teknik tendangan yang baik, pertahanan Pahang perlu berhati-hati dengan pemain ini. Di samping itu, skuad kendalian Fandi Ahmad, masih mempunyai Safee Sali dan Norshahrul, yang perlu diberi perhatian kalau tidak mahu berputih mata.